Khamis, 25 September 2008

MAIS peruntukkan RM12 juta biayai dialisis
SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan sejumlah RM12 juta pada 2007 bagi membiayai kos rawatan dialisis yang melibatkan pengagihan kepada 710 pesakit.

MAIS dalam kenyataannya berkata, selain mempunyai pusat dialisis sendiri, MAIS juga melantik pusat-pusat dialisis terpilih untuk menyediakan rawatan cucian buah pinggang kepada pesakit.

"MAIS juga sentiasa mengalu-alukan permohonan mereka yang menghidap sakit kronik dan sebarang permohonan bolehlah dibuat di mana-mana 22 kaunter LZS bagi mendapatkan borang permohonan untuk dilengkapkan dan diserahkan semula ke kaunter LZS untuk tindakan lanjut," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, MAIS telah mengagihkan 135 hamper dan wang tunai kepada pesakit dialisis yang mendapatkan rawatan di Pusat Dialisis MAIS Shah ALam, Jalan Kapar dan Sungai Besar.

Sebagai simbolik, Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa menyampaikan sumbangan hamper kepada 55 pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Dialisis MAIS Shah Alam, semalam.

MAIS berkata, selain menanggung kos rawatan dialisis mereka, penyampaian hamper sempena sambutan Aidilfitri ini dilihat sebagai satu lagi aktiviti yang menunjukkan keprihatinan dan tanda sokongan MAIS dalam membela nasib golongan ini.

Tiada ulasan: