Isnin, 22 September 2008

Selepas gagal turunkan harga minyak, ISA pula digunakan
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU- Kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa menggunakan senjata terakhir iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekang kebangkitan Pakatan Rakyat yang semakin hampir menuju ke Putrajaya.

ISA yang bermati-matian dipertahankan kerajaan BN ternyata menjadi benteng paling akhir sekarang, selepas rakyat bangkit bersama Pakatan Rakyat.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum ini bagi menurunkan harga minyak.

Sebaliknya kata beliau kerajaan menggunakan ISA bagi menentang kebangkitan rakyat.

"Kerajaan sepatutnya menunaikan janjinya menurunkan harga minyak akhir September ini dan bukannya menahan individu tertentu di bawah Akta Hasutan atau ISA kerana kepentingan politik.

"Seharusnya dalam keadaan tersempit sekarang tumpukan isu rakyat khususnya menurun harga minyak dan bukannya menangkap rakyat demi kepentingan politik BN," katanya di sini.

Minggu lepas seorang penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan polis di bawah Akta Hasutan dipercayai kaitan kempennya memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Sebelum itu anggota parlimen Seputeh, Teresa Kok, bloger, Raja Petra Kamaruddin dan seorang wartawan akhbar berbahasa Cina ditawan di bawah ISA.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang berkata, rakyat sekarang sedang menunggu janji Perdana Menteri menurunkan harga minyak berikutan pasaran dunia menurun.

"Rakyat sedang menunggu janji itu, lagi pun tak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Apa yang berlaku sekarang kerajaan BN bukan menurunkan harga minyak, sebaliknya menahan individu tertentu menggunakan ISA," ujarnya. - mj _

Tiada ulasan: