3 cedera pesawat AirAsia langgar gumpalan angin
UTUSAN ONLINE
KOTA KINABALU 27 Sept. – Tiga krew penerbangan termasuk dua pramugari AirAsia cedera selepas pesawat tambang murah itu melanggar gumpalan angin kencang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu hari ini.
Keadaan cuaca tersebut memaksa juruterbang melencongkan pesawat dan melakukan pendaratan kecemasan di Lapang Terbang Antarabangsa Kuching bagi membolehkan mereka yang cedera mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut seorang penumpang yang enggan namanya disiarkan, pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 1 petang sebelum ia merempuh gumpalan angin kencang kira-kira 30 minit kemudian.
“Keadaan itu memaksa pesawat mendarat di Kuching pada pukul 3 petang dan krew yang cedera dibawa keluar dari pesawat.
“Bagaimanapun tiada penumpang yang cedera,” katanya ketika menghubungi Mingguan Malaysia dari lapangan tersebut hari ini.
Jurucakap AirAsia di Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu maklumat lanjut mengenai kejadian itu akan diumumkan kepada media Isnin ini.
Beliau menambah, hanya dua krew masih dirawat di sebuah hospital swasta di Kuching, manakala yang ketiga telah dibenarkan pulang.
Ahli perniagaan dari Sabah itu berkata, sehingga pukul 6 petang ini pesawat tersebut masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Dalam pada itu Dang Rahmat Jamaluddin, 44 ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu berkata, dia telah menunggu ketibaan anaknya yang menaiki pesawat berkenaan sejak dari pukul 2.10 petang.
Katanya, anak perempuannya yang baru sembilan bulan bekerja di Putrajaya hanya menghubunginya pada pukul 2 petang menyatakan ada sesuatu berlaku dan pesawat tersebut terpaksa mendarat di Kuching.
“Sepatutnya dia tiba pada pukul 3.30 petang tetapi tadi dia ada telefon hanya cakap ‘dahsyat’. Apa pun saya harap dia selamat sampai,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pekerja di kaunter penerangan AirAsia di sini ketika ditemui berkata, pesawat berkenaan menghadapi masalah teknikal dan terpaksa mendarat di Kuching.
Katanya, penumpang dari Kuala Lumpur pada pukul 12.50 tengah hari itu tetap meneruskan penerbangan dan tiba di Kota Kinabalu pada pukul 8.30 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan