Jumaat, 26 September 2008

Melamin: 86 lagi produk disita
Oleh HASHNAN ABDULLAH


PUTRAJAYA 25 Sept. - Sebanyak 86 lagi produk makanan di seluruh negara disita hari ini kerana disyaki tercemar dengan melamine setelah 53 produk disita semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Bagaimanapun, kata beliau, tujuh daripada 53 produk yang disita semalam didapati mematuhi standard bagi kandungan melamin yang dibenarkan.

Menurutnya, kesemua 86 produk terbabit telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi menentukan sama ada ia mematuhi standard yang ditetapkan.

Pada masa sama, kata beliau, kementerian turut mendapati 574 produk daripada 25 syarikat tidak terlibat dalam isu melamin dari China.

''Tujuh produk yang didapati mematuhi standard bagi kandungan melamin dibenarkan ialah Chocolate Coated Wafer (Passion), Oreo White Chocolate Wafer Stick (Kraft) dan Mini Cornetto Chocomint & Tiramisu Flavoured (Wall's).

''Produk-produk lain pula adalah Moo Soft Cookie Sandwich (Wall's), Susu Tepung 123 Honey (Dutch Lady), Susu Berperisa Strawberry (Dutch Lady) dan Susu Tepung Rumusan Bayi (Frisolac)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan menyita 53 barangan makanan berasaskan susu yang diimport dari China kerana disyaki tercemar dengan melamin melalui pemeriksaan bersepadu di seluruh negara.

Produk yang membabitkan coklat, biskut, gula-gula dan yogurt dari China itu dikenakan pemeriksaan tahap lima.

Suruhanjaya Eropah (EC) menetapkan tahap migrasi melamin yang selamat daripada bekas atau pembungkus makanan ialah 30 miligram (mg) bagi setiap sekilogram.

Sehubungan itu, Dr. Mohd. Ismail memberitahu, orang ramai perlu berhati-hati dengan pembelian atau penerimaan hamper atau hadiah sebarang produk makanan dari China secara percuma.

''Orang ramai dinasihatkan supaya membaca label pada produk makanan tersebut dan jika ragu-ragu boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833655/ 88833503/ 88833652/ 88833500.

''Selain itu, orang ramai boleh juga mendapatkan maklumat terkini atau mengaju soalan melalui laman web kami iaitu http://fsg.moh.gov.my," katanya.

Sementara itu, mengenai demam denggi, Dr. Mohd. Ismail berkata, dalam tempoh hingga 20 September lalu, sejumlah 31,536 kes demam denggi dilaporkan berbanding 37,745 kes tempoh yang sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, lima negeri iaitu Selangor, Johor, Perak, Terengganu dan Sarawak telah menyumbang 69 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

''Bagi penyakit Chikungunya sehingga 20 September, sejumlah 2,230 kes dilaporkan dan tiada kematian. Johor merupakan negeri yang mencatatkan bilangan kes yang tertinggi," katanya.

Tiada ulasan: