Rabu, 24 September 2008

Mahkamah diminta batalkan permohonan Raja Petra
Oleh AMIRUDDIN HARUN


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa permohonan habeas corpus Raja Petra Kamarudin untuk dibebaskan daripada Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tidak terpakai kerana beliau kini telah ditahan di bawah Seksyen 8(1)ISA di bawah arahan Menteri Dalam Negeri.

Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohamad berkata, Menteri Dalam Negeri pada petang semalam telah mengeluarkan arahan supaya pengendali laman web Malaysia Today itu ditahan di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping selama dua tahun mengikut seksyen tersebut.

Berikutan itu, katanya, beliau mengemukakan bantahan awal supaya permohonan itu dibatalkan kerana isu yang dibangkitkan di bawah Seksyen 73(1) telah menjadi akademik memandangkan Raja Petra tidak lagi di bawah pertimbangan Ketua Polis Negara.

Dalam notis permohonannya, Raja Petra menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden.

Jelas Abdul Wahab, Raja Petra mulai petang semalam tidak lagi berada dalam tahanan Ketua Polis Negara sebaliknya beliau kini ditahan mengikut perintah Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 8(1) akta itu.

''Sehubungan itu, isu permohonan habeas corpus ini tidak timbul pada masa sekarang,'' katanya sambil merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohd. Faizal Haris lawan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Dalam permohonan yang difailkan pada 16 September lalu, Raja Petra mendakwa penahanannya di bawah Seksyen 73(1) adalah tidak menurut undang-undang atau tanpa asas undang-undang dan berniat jahat.

Raja Petra ditahan kira-kira pukul 1.10 petang, 12 September lalu di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today.

Beliau ditahan pada hari yang sama dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Bagaimanapun kedua-dua mereka telah dibebaskan.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mengetuai barisan lima peguam mewakili Raja Petra pula menyatakan penahanan pemohon di bawah Seksyen 8(1) ISA semalam bertujuan mengelak kesan daripada permohonan habeas corpus itu.

Menurut beliau, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan itu kerana arahan penahanan Raja Petra di bawah Seksyen 8(1) mempunyai kaitan dengan penahanan polis terhadap Raja Petra sebelum ini kerana ia merupakan asas kepada arahan menteri terbabit.

Berikutan itu, Malik menghujahkan bahawa penahanan di bawah Seksyen 73(1) adalah relevan dengan permohonan untuk mencabar perintah di bawah Seksyen 8(1) akta tersebut.

Mengikut Seksyen 73(1), pihak polis boleh menahan seseorang dalam tempoh 60 hari untuk menjalankan siasatan dan membuat perakuan kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah tahanan.

Hakim Suraya Othman menetapkan 28 Oktober ini untuk mendengar hujahan lanjut berhubung bantahan awal itu sebelum memutuskan sama ada akan mendengar permohonan habeas corpus itu.

Turut hadir mendengar prosiding hari ini ialah isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah dan anak perempuannya serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim.

Malik ketika ditemui oleh wartawan menyatakan pihaknya mungkin memfailkan permohonan habeas corpus yang baru pada minggu depan berhubung perintah penahanan Raja Petra di bawah Seksyen 8(1) ISA.

Tiada ulasan: