Sabtu, 27 September 2008

Tol percuma satu tahun
Oleh Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: Pengguna kad Touch ‘n Go di Lebuhraya Utara-Selatan yang menambah nilai minimum RM50 ke dalam kad berkenaan pada 25 September lalu hingga 15 Oktober ini, berpeluang memenangi hadiah tol percuma selama setahun bernilai RM2,000.

Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways Berhad (Plus), Nik Airina Nik Jaffar, berkata peraduan ‘Jom Balik Kampung: Get Spotted n’Win’ diadakan sempena sambutan Aidilfitri.

“Peraduan ini untuk menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya Plus, Lebuh Raya Hubungan Tengah (Elite), Linkedua dan Butterworth-Kulim bertukar ke sistem pembayaran tol secara elektronik yang lebih efisien, mudah dan pantas.

“Ini sebahagian daripada inisiatif untuk memastikan perjalanan pada hari raya ini lebih selesa dan lancar,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran peraduan ‘Jom Balik Kampung’ di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Touch ‘n Go Sdn Bhd, Hasni Zarina Mohamed Khan.
Peraduan berkenaan anjuran bersama Plus dan Touch ‘n Go.

Beliau berkata, seramai 10 pelanggan kad Touch ‘n Go yang bertuah akan memenangi hadiah tol percuma itu manakala 150 pemenang saguhati akan menerima kad Touch ‘n Go bernilai RM100 setiap seorang.

“Orang ramai juga berpeluang mendapatkan buku panduan keselamatan ‘selamat di jalan’ serta cakera padat (CD) lagu Hari Raya Edisi Khas Plus apabila menambah nilai RM50 ke dalam kad itu di pusat khidmat pelanggan di lebuh raya Plus.

“Pelanggan akan diberikan pelekat khas yang perlu dipamerkan di kenderaan sepanjang tempoh kempen itu,” katanya.

Tiada ulasan: