Jumaat, 26 September 2008

Najib ambil alih disifatkan berita baik
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyifatkan penyerahan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka pada bulan Mac ini sebagai berita baik kepada pembangkang.

"Jika Tengku Razaleigh yang mengambil alih kepimpinan dari (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi), ia berita yang tidak menggembirakan kepada kita. Kalau Najib ambil alih, itu berita baik," katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pagi tadi dilihat memberi tarikh akhir yang baru kepada Abdullah supaya berundur dengan menetapkan perhimpunan agung parti itu akan diadakan pada Mac ini.

Bagaimanapun, tarikh pemilihan di peringkat bahagian-bahagian mulai 9 Oktober dikekalkan.

Ketika ditemui para pemberita selepas mesyuarat itu, Abdullah sendiri membayangkan bahawa pelan peralihan kuasa pada Jun 2010 seperti yang dikehendakinya tidak diterima oleh MT.

Ditanya lanjut mengenai pelan peralihan kuasa 2010, Presiden Umno berkata: "Kalau sudah diawalkan tidak timbullah (pelan) 2010 itu."

Ketika diminta penjelasan mengenai maksud bagi melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata "ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan..."

Perdana Menteri juga dipetik sebagai berkata: "Apabila kerja habis, habislah “.

Bagaimanapun, untuk menjaga air mukanya, Abdullah memberitahu bahawa beliau belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan presiden.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat keputusan mengenainya sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober depan.

“Apa-apa keputusan saya akan buat sebelum mesyuarat bahagian,” katanya.

Sebelum ini, Business Times Singapura melaporkan seorang pemimpin Umno menjangka Abdullah akan akan mendapat kira-kira 40 pencalonan sahaja.

Seseorang calon yang mahu bertanding sebagai Presiden Umno memerlukan sekurang-kurangnya 58 pencalonan daripada 193 bahagian Umno.

Mengulas lanjut tanda-tanda pemilihan Najib sebagai pengganti Abdullah Mac ini, Mohamad Sabu berkata, walaupun Tengku Razaleigh mempunyai sikap yang boleh dianggap lunak dalam soal-soal perlaksanaan Islam, tetapi beliau tetap berpendapat Najib lebih mudah dihadapi pembangkang.

"Kepada pembangkang, eloklah kalau Najib yang ganti. Nak berhadapan dengan Najib lebih kurang berhadapan dengan Abdullah. Dua-dua sama sahaja.

"Kita tak senanglah kalau Tengku Razaleigh yang ganti Abdullah walaupun kita akui Tengku Razaleigh tak kacau kalau orang nak laksana Islam. Dia tidaklah tolak dengan berdalih-dalih guna hujah maqasid syari'ah dan sebagainya. Dia bukan jenis yang tunjuk pandai," katanya.

Seorang pemimpin Gerakan baru-baru ini menyifatkan Najib mempunyai liabiliti dan beban politik.

Walaupun mengakui komuniti perniagaan senang dengan ketenangan, kepastian dan ketegasan Najib tetapi Malaysian Insider (MI) memetik pemimpin Gerakan itu berkata, "Reputasinya (Najib) tercemar dengan pembunuhan wanita Mongolia".

Beliau merujuk pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu.

Pihaknya, kata pemimpin Gerakan itu, bimbang adakah isu yang serius itu akan memburuk menjadi tamparan yang hebat kepada Barisan Nasional (BN) kelak.

Persepsi umum masih lagi dibelenggu dengan begitu banyak persoalan yang tidak pernah dijawab berhubung kesluruhan episod itu.

"Ia adalah satu liabiliti...bebanan politik yang akan memberi kesan kelak jika terbiar tidak diselesaikan terutama apabila musuh politik Najib begitu aktif, mungkin semakin kuat dan secara terbuka mensasarkan beliau untuk menghancurkannya," MI memetik beliau berkata.

Persepsi rakyat tentang Najib mungkin disimpulkan dengan baik dalam kenyataan seorang peguam yang juga bekas pemimpin MIC kepada MI: "Datang dari lubuk tercemar Umno-BN yang sama, tentulah kejujujuran dan integriti Najib diragui umum"._

Tiada ulasan: