Jumaat, 19 September 2008

Bursa Malaysia jatuh bawah 1,000 mata
Utusan Online


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pasaran saham tempatan merudum di bawah paras 1,000 mata akibat kesan yang diterima daripada masalah dalam sistem kewangan Amerika Syarikat (AS).

Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) hari ini ditutup pada 991.66 mata, jatuh sebanyak 11.33 mata atau 1.13 peratus. Paras tersebut merupakan paras terendah hampir dua tahun.

Penganalisis MIMB Investment Bank, Shahril Anas berkata, kejatuhan IKKL hari ini didorong oleh kebimbangan kesan berterusan terhadap kejatuhan pasaran dunia disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlaku di AS.

''Ia bermula dengan masalah gadai janji dan sub prima dan kini diikuti pula oleh masalah kewangan yang melanda syarikat-syarikat gergasi negara itu seperti Lehman Brothers dan American International Group (AIG).

''Para pelabur menjangkakan kesan buruk mungkin akan terus berlaku dan ia sekali gus menyebabkan kebimbangan dalam pasaran di Malaysia mahu pun pasaran global lain,'' katanya.

Pada 15 September lalu, bank pelaburan AS, Lehman Brothers Holdings Inc. telah memfailkan untuk diistihar muflis akibat masalah kewangan yang melanda bank itu.

Turut memburukkan keadaan apabila pemegang insurans syarikat AIG tidak yakin dengan pengumuman Rizab Persekutuan AS untuk memberikan pinjaman kecemasan AS$85 bilion (RM272 bilion) kepada AIG bagi menyelamatkannya daripada keruntuhan telah menarik keluar pegangan polisi insurans mereka.

Impak daripada langkah yang diambil bank tersebut telah mengakibatkan pasaran saham global mengalami gelombang kejatuhan.

Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, keadaan pasaran yang jatuh di bawah paras 1,000 mata disebabkan reaksi jangka pendek terhadap krisis kewangan di AS.

''Prestasi menurun pasaran pada ketika ini, adalah bersifat sementara dan bukan untuk jangka masa yang panjang.

''Sentimen tersebut telah menyebabkan para pelabur berada dalam keadaan tidak pasti untuk membuat sebarang pelaburan ekoran krisis ekonomi di luar negara dan masalah dalaman politik negara,'' katanya selepas sidang akhbar anjuran RAM Holdings Bhd. disini hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, penurunan IKKL adalah kesan daripada ketidaktentuan ekonomi global, yang mana pasaran tempatan tidak dapat lari daripada tekanan tersebut.

''Saya tidak dapat menyatakannya, ia amat sukar,'' katanya ketika ditanya mengenai prospek pemulihan Indeks Komposit Bursa Malaysia.

Tiada ulasan: