Membaca disebalik tindakan dan 'gerak-geri' Abdullah
Oleh Mohd Sayuti Omar
SEKALIGUS pertukaran portfolio antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan memperlihatkan keikhlasan Abdullah untuk mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri.
Pertukaran itu juga sebagai persiapan kepada Najib untuk berlatih mengira dan mengenali not-not wang negara asing.
Petukaran itu juga membayangkan Abdullah bersedia memenuhi impian dan angan-angan Najib untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.
Najib tentu gembira dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba itu dan seolah yang bulat datang menggolek dan yang leper datang melayang itu! Yalah Menteri Kewangan merupakan menteri paling berprestej dan glamour.
Ditangan menteri itulah terletaknya karung dan guni kewangan negara.
Najib juga diberikan jawatan Pengerusi Khazanah Negara. Kedudukan itu meletakkan Najib sebagai pemegang segala khazanah dan seluruh kekayaan negara baik yang beku atau cair.
Peralihan itu juga semacam menampakkan Abdullah mengakui akan kelemahan beliau dalam menjana ekonomi negara.
Peralihan itu mengesahkan apa yang dilemparkan kepadanya, jahil mengenai ekonomi dan buta untuk mencari wang kepada negara.
Beliau seakan mengakui akan kelemahan itu dan bersedia memberikan kepada mereka yang lebih layak dan bernafsu untuk merangkulnya.
Dalam hal ini saya ada pandangan lain mengenai diri dan politik Perdana Menteri ini.
Pada saya apa yang beliau lakukan itu bukan proses memberi pengalaman atau kenaikan pangkat kepada Najib, tetapi ia satu perangkap kepada timbalannya itu.
Pertukaran hari ini bukan suka sama suka seperti dipamerkan tetapi Najib terpaksa menerimanya. Harapnya Najib tidak silap dalam mentafsirkan ini.
Apa yang mungkin terselimut di sebalik hati Abdullah ialah beliau mahu rakyat mengetahui sejauh manakah kemampuan Najib menjana ekonomi negara.
Kantung kewangan negara kini kering kontang. Perkembangan dan pergerakan ekonomi lembab. Apakah dengan suasana ini Najib dapat mengubah dan menambah kantung kewangan negara?
Pada Abdullah mungkin Najib tidak akan dapat melakukan sesuatu untuk merancakkan ekonomi negara. Dengan ilmu yang sedikit sudah pasti Najib tidak dapat melakukan apa-apa yang lebih baik daripadanya.
Najib pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan satu masa dulu. Pengalaman itu sangat cetek untuk Najib terjun ke lautan ekonomi yang bergelora.
Jadi apa yang Abdullah hendak tengok ialah kegagalan Najib kelak.
Kegagalan itu pula akan menjadi senjata kepada Abdullah untuk melihat Najib mati secara beragam dengan angan-angan besarnya.
Saya nampak dalam hal ini Abdullah mahu memberi peluang kepada Najib melakukan sesuatu. Apakah beliau berbakat dalam hal kewangan dan ekonomi atau tidak?
Abdullah ada alasan sendiri untuk menjadi PM bukan saja memerlukan kepada kesegakkan tubuh badan tetapi kecerdikan otak serta sifat-sifat lain lagi yang tidak kurang pentingnya.
Sepatah kata Abdullah dalam memancing dan mencabar Najib, sekiranya prestasi Najib bagus mungkin beliau akan berundur awal.
Mungkin pancing itu dimakan dan ditelan Najib dengan penuh keazaman dan lahap.
Tetapi dalam suasana hari ini - dengan kemelesetan ekonomi global apa yang Najib mampu lalukan?
Di sebalik pertukaran yang berlaku hari ini saya juga nampak Abdullah mahu apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim dulu berulang kepada Najib. Anwar semasa menjadi TPM juga menjadi Menteri Kewangan.
Kementerian berkenaan menjadikan Anwar lupa daratan dan membina kekuatan politiknya.
Amalan kronisme dan nepotisme wujud ketika itu.
Akhir apa yang berlaku ke atas Anwar dengan kedudukkan itu; beliau menjadi seperti bawang yang ditimpa oleh jambaknya.
Jadi pertukaran yang dianggap ikhlas oleh Najib mengenai portfolio itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan Najib. Para langau Najib tidak perlu memikirkan yang bukan-bukan dengan kedudukan dan kuasa terbaru Najib itu.
Sebab kalau tidak kena gaya kuasa baru yang dijabati hari ini akan membawa Najib ke lembah yang curam dan dalam!
Sementara itu pengambilalihan jawatan Menteri Pertahanan itu mungkin disebabkan Abdullah sudah sedar apa dilakukan Najib dengan kementerian itu.
Penggunaan Military Intelligent Organization (MIO) oleh Najib untuk kepentingan poltiknya mungkin membimbangkan Abdullah.
Jadi sebelum pagar memakan padi elok kalau beliau mengawal sendiri kementerian berkenaan dan biarlah MIO melaporkan semua perkembangan mengenai keselamatan dan politik negara kepadanya seorang saja tanpa berkosngsi dengan orang kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan