Khamis, 25 September 2008

Sijil pindah kes Anwar dipertikai, mahkamah putus 7 Okt
Mstar online


PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 7 Oktober bagi memutuskan sama ada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Ia diputuskan oleh Hakim S.M.Komathy Suppiah.

Komathy berkata, beliau memerlukan masa dua minggu untuk menimbang hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut bahawa Mahkamah Sesyen risau kerana sijil untuk memindahkan kes liwat Anwar ke Mahkamah Tinggi ditandatangani oleh Tan Sri Abdul Gani Patail di sebalik kenyataan Perdana Menteri yang memberikan jaminan Peguam Negara tidak akan terlibat dalam kes itu.

Komathy yang menyuarakan kebimbangannya itu hari ini, menyatakan ia akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman.

Abdul Gani sedang disiasat oleh badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Anwar atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.

Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, ketua unit pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, menjelaskan dalam kapasitinya sebagai peguam negara, adalah menjadi tugas Abdul Gani untuk menandatangani sijil itu sebagai satu prosedur pentadbiran.

Komathy: Kenapa anda fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) berkata demikian? (kenyataan yang Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes Anwar)
Mohamed Yusof: Untuk memastikan tidak berlaku berat sebelah terhadap Anwar yang membuat laporan kepada BPR terhadap Abdul Gani.

Mohamed Yusof berhujah Perdana Menteri boleh kata apa sahaja yang beliau mahu tetapi akhirnya mahkamah yang perlu membuat keputusan mengikut undang-undang.

Komathy menerima penjelasan Mohamed Yusof.

Peguam bela utama Anwar, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah yang orang ramai telah terkeliru dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu namun Abdul Gani telah menandatangani sijil itu.

"Perdana menteri telah mengeluarkan kenyataan tanpa merundingi Peguam Negara.

"Kenapa nak mengelirukan orang ramai jika Peguam Negara tidak terlibat.

"Pendirian kami ialah Abdul Gani tidak patut mempunyai sebarang peranan dalam kes ini. Beliau tidak sepatutnya menggunakan atau menandatangani sijil itu. Inilah intipati bantahan kami," kata Sulaiman.

Beliau berkata, pada peringkat ini apa yang pembelaan ingin katakan ialah Abdul Gani tidak boleh menandatangani sijil itu, menjadikannya (sijil) tidak sah.

Selain Sulaiman, Anwar juga diwakili R. Sivarasa, Sankara N. Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Mohamed Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.

Sementara itu, Mohamed Yusof mengemukakan bantahan awal, menyatakan Mahkamah Sesyen mempunyai mandat untuk memindahkan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pemindahan dikeluarkan oleh pihak pendakwaan.

Katanya, mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Acara Jenayah, Mahkamah Sesyen tiada pilihan lain tetapi melaksanakan pemindahkan itu selepas menyerahkan sijil itu.

Mohamed Yusof berkata, Mahkamah Sesyen, sebagai mahkamah lebih rendah, tidak mempunyai sebarang budi bicara untuk menafikan pemindahan itu.

"Dalam mengemukakan bantahan terhadap sijil yang dikeluarkan oleh pendakwa raya, peguam yang bijaksana yang mewakili Anwar adalah sama ada memohon perisytiharan bahawa sijil itu tidak sah atau menolak keputusan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," katanya dan menurutnya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar atau diputuskan.

Sulaiman berhujah pendakwaan telah gagal memberikan sebarang alasan yang kukuh bagi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Katanya daripada penyelidikan pihak pembelaan, keskes yang dilaporkan berkaitan kesalahan liwat di negara ini telah dikendalikan di Mahkamah Sesyen.

Selepas mendengar hujahan daripada keduadua pihak di mahkamah terbuka, Komathy menangguhkan prosiding dan memanggil Mohamed Yusof dan Sulaiman ke kamarnya.

Kira-kira 30 minit kemudian, Komathy keluar dan memaklumkan semua yang hadir yang beliau perlukan masa untuk meneliti hujahan dan pihak berkuasa yang dirujuk oleh kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.Beliau kemudian menetapkan 7 Oktober untuk menyampaikan keputusannya.

Sementara itu, Sankara Nair ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya dapat menerima keputusan mahkamah hari ini untuk menunda perbicaraan kes tersebut pada 7 Oktober bagi memutuskan sama ada kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

"Kalau mahkamah tidak dapat membuat keputusan, mereka memang memerlukan masa.

"Jadi, kita bersetuju supaya kes itu ditangguh kepada 7 Oktober bagi mahkamah membuat keputusan," katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tinjauan mStar Online di pekarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta mendapati wartawan dan penyokong sudah mula berkumpul sejak 7 pagi tadi.

Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000

Ia merupakan kes liwat kedua melibatkan Anwar selepas yang pertama 10 tahun lalu.

Tiada ulasan: