MB Selangor temui pemimpin pelajar UiTM bincang isu kuota 10 peratus
Mstar online
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) semalam - kali pertama sejak tercetusnya isu kontroversi agar pengambilan ke pusat pengajian tinggi itu dibuka 10 peratus kepada bukan Bumiputera dan warga asing.
Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan enam pemimpin pelajar termasuk Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Luqmanulhakim Mohamad Idris menghadiri pertemuan yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar.
Khalid berkata, beliau berpuas hati dengan pertemuan tersebut kerana wakil-wakil pelajar berkenaan menyatakan harapan dan pandangan mereka mengenai mengapa perlunya untuk mengekalkan kuota 100 peratus pelajar Bumiputera.
Kata Khalid, mereka bagaimanapun bersetuju perlunya pengambilan pelajar dari kaum-kaum lain serta pelajar asing namun berpendapat perkara tersebut tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini.
Tambah beliau, kedua-dua pihak juga mempunyai matlamat yang sama iaitu bagi melihat negara dan kaum Bumiputera terus berkembang maju.
“Mereka mengharapkan untuk melihat pelbagai usaha untuk membantu kaum Bumiputera terutamanya dari kawasan luar bandar.
“Saya bersetuju, namun kita juga perlu melihat kaedah untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi menjadikan kita (Bumiputera) lebih berdaya saing sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Kontroversi antara kerajaan negeri, pihak universiti dan badan pelajar ini mula wujud berikutan kenyataan Khalid 11 Ogos lalu, yang menyarankan agar UiTM membuka kuota 10 peratus pengambilan pelajarnya bagi membantu proses integrasi kaum serta meningkatkan kualiti graduannya.
Pertubuhan pelajar universiti berkenaan telah mengadakan demonstrasi di beberapa negeri agar Khalid menarik balik kenyataannya itu.
Ditanya sama ada pertemuan itu akan meleraikan ketegangan antara pelajar-pelajar universiti tersebut dengan kerajaan negeri, beliau berkata, kedua-dua pihak pasti akan terus mempunyai perbezaan pendapat.
Bagaimanapun katanya, pertemuan itu adalah langkah awal bagi kedua-dua pihak yang akhirnya dapat bertukar-tukar fahaman dan pandangan.
Katanya, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali turut menyuarakan hasrat mereka untuk mengadalikan forum-forum antara kerajaan negeri dan para pelajar UiTM mengenai isu-isu yang berkaitan remaja.
“Saya juga berharap agar Akta Universiti dan Kolej Universiti dimansuhkan bagi membenarkan lebih banyak perbincangan terbuka antara pelajar dan parti-parti politik diadakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan