Selasa, 3 Ogos 2021

Kesemua 107 MP sertai perhimpunan dipanggil rakam percakapan – Polis

Kumara Sabapatty
MGF02082021_PCKESBUNUHIPKL06
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Azmi Abu Kassim bercakap pada sidang media Perkembangan Siasatan Kes Bunuh di Daerah Dang Wangi dan Siasatan Berhubung Himpunan Keluar dan #Lawan di IPD Kuala Lumpur, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI,

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil kesemua 107 ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka hari ini untuk dirakam percakapan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah mengenalpasti para peserta dalam Perhimpunan Solariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen itu dan kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat daripada media mengatakan hari ini akan berlaku Perhimpunan Solariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen.

“Rentetan maklumat itu semakan dengan Parlimen mendapati tiada sebarang persidangan pada hari ini sebelum polis membuat sekatan dan lencongan dengan tidak membenarkan kumpulan itu berarak dan memasuki Parlimen.

“Malah saya dapat tahu hasil siasatan awal bahawa seramai 107 ahli Parlimen pembangkang menyertai perhimpunan itu pagi tadi maka kita akan panggil mereka dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, setakat ini polis telah menerima dua laporan berhubung kejadian itu di ibu negara mendesak tindakan ke atas mereka yang berhimpun di kawasan Parlimen.

“Polis tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu. Maka kita telah buka kertas siasatan dan akan lakukan siasatan sepertimana perhimpunan lain menggunakan peruntukan undang-undang yang ada.

“Kertas siasatan itu kemudian akan diangkat kepada kepada Jabatan Peguam Negara dan daripada situ kita tahu apa tindakan lanjut akan dibuat,” jelasnya.

Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta 342 iaitu Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalam Penyakit Berjangkit 1988.

Sekitar pukul 9.30 pagi tadi, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas mereka dihalang oleh polis daripada memasuki bangunan Parlimen.

Selepas berkumpul di Dataran Merdeka, sekumpulan ahli Parlimen pembangkang antaranya daripada parti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), dihalang menuju ke Parlimen melalui Jalan Parlimen dari Bulatan Dato Onn oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Antara yang hadir adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Penasihat Pejuang; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: