Selasa, 13 Julai 2021

PPV IDCC Shah Alam tutup hari ini, petugas positif Covid-19


Pusat Pemberian Vaksin di Ideal Convention Centre Shah Alam ditutup untuk sanitasi hari ini.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menutup sementara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, hari ini, susulan kes positif Covid-19 membabitkan petugasnya.

Pada masa sama, CITF menggesa individu yang hadir untuk menerima vaksin di IDCC antara 29 Jun hingga 12 Julai 2021 membuat penilaian kendiri dan melakukan ujian saringan jika ada tanda-tanda gejala Covid-19.

CITF dalam kenyataan awal pagi tadi berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan di PPV berkenaan.

“CITF ingin memaklumkan bahawa PPV IDCC Shah Alam akan ditutup selama satu hari pada 12 Julai 2021 susulan kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugas di PPV tersebut.

“Langkah segera penutupan ini diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan,” kata CITF.

Semua janji temu yang telah diberikan pada hari ini akan dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan secepat mungkin.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengarahkan semua PPV melakukan pemeriksaan rapi di pintu masuk bagi mengelak individu berstatus tertentu seperti mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19, memasuki pusat berkenaan.

Beliau berkata selain itu beberapa langkah segera termasuk sanitasi, pengasingan kontak rapat dan melakukan ujian ke atas petugas PPV turut dilakukan apabila individu positif dikesan memasuki PPV berkenaan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai yang melakukan ujian Covid-19 untuk bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.

“Orang ramai diseru untuk mengamalkan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, terutamanya memastikan penjarakan fizikal di PPV yang mana amat penting dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: