Selasa, 13 Julai 2021

Peguam Rosmah pertikai surat lantikan Sri Ram sebagai TPR

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu bahawa perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar adalah terbatal kerana Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun, telah mengeluarkan surat undur tarikh berhubung pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes itu.

Peguam Datuk Jagjit Singh berkata, surat yang dikemukakan pendakwaan kepada mahkamah telah ditandatangani oleh AG ketika ini iaitu pada 21 Mei 2021 bagi melantik Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, berkuat kuasa mulai 30 Ogos 2018.

"Menerusi surat itu, Idrus menyatakan bahawa Sri Ram boleh melaksanakan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang diperuntuk kepada beliau (Idrus) di bawah Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atau mana-mana undang-undang bertulis seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 376 (3) KPJ dan khususnya bagi mengendalikan pendakwaan dalam kes solar Rosmah termasuk sebarang permohonan dan rayuan jenayah lain yang berkaitan," katanya.

Peguam kepada Rosmah, Jagjit hadir perbicaraan pembelaan kes projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Peguam kepada Rosmah, Jagjit hadir perbicaraan pembelaan 
kes projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak
di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/
Aswadi Alias

Beliau berkata Idrus adalah Hakim Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos 2018 dan beliau dilantik sebagai AG pada 6 Mac 2020.

"Idrus tidak boleh mengeluarkan surat undur tarikh semasa beliau belum lagi tidak menjadi AG. Oleh itu, berdasarkan surat yang dikeluarkan pada 21 Mei, perbicaraan kes ini adalah terbatal," katanya semasa berhujah pada pendengaran permohonan Rosmah untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah membabitkan RM1.25 bilion berkaitan projek hibrid solar dan menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes itu.

Jagjit juga berhujah bahawa surat yang dikeluarkan AG itu bersifat sesuatu yang difikirkan kemudian dan oleh yang demikian, pelantikan Sri Ram adalah tidak sah, luar aturan serta cacat.

Rosmah, 69, telah memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuan beliau bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju untuk menyerahkannya kepada pembelaan.

Beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lepas.

Surat pelantikan tersebut tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018 iaitu ketika Rosmah didakwa dan tidak ditandatangani oleh AG ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Idrus.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Khamis ini. – BERNAMA

Tiada ulasan: