Rabu, 14 Julai 2021

Kes Covid-19 dijangka bertambah dua minggu lagi

 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 akan terus bertambah dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi sebelum ia kembali stabil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan varian Delta yang disifatkan dominan boleh berlaku dalam masa singkat menerusi bawaan udara.

“Salah satu faktor peningkatan ini ialah varian dan kita dimaklumkan, Delta menjadi varian dominan. Sebelum ini ialah Beta yang telah merebak seluruh negara dan setiap negeri dikesan ada Beta varian tetapi Delta varian ini merebak dengan cepat.

“Kalau 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang dalam masa singkat. Kita lihat jangkitan ikut udara dan dalam masa singkat, ia boleh menjangkiti. Jadi perlu ambil tindakan bagi mengelak jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Ditanya mengenai peningkatan kes harian tersebut, Noor Hisham berkata, ujian saringan Covid-19 telah ditingkatkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Majikan juga misalnya turut menjalankan ujian saringan terhadap pekerja mereka selain kita tingkatkan ujian saringan bersasar melibatkan komuniti. Ini menyumbang kepada peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Bagi pekerja yang disahkan positif, sebanyak 85 peratus adalah tahap satu dan dua (tahap satu sahaja 53 peratus), manakala 15 peratus berkemungkinan tahap tiga, empat dan lima (tahap lima sahaja 10 peratus),” katanya. -K! ONLINE

Tiada ulasan: