Khamis, 10 Jun 2021

Keputusan SPM melalui portal khas

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dianggap unik kerana berlangsung dalam keadaan negara bergelut dengan pandemik Covid-19. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

PETALING JAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh mendapatkan keputusan peperiksaan bermula esok secara dalam talian di portal myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my.

Pengarah Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, calon juga boleh mendapatkan keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPNoAngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Katanya, perkhidmatan itu diaktifkan mulai pukul 10 pagi esok hingga 6 petang, 17 Jun.

“Calon sekolah atau persendirian yang tiada capaian internet akan dikenal pasti guru kelas atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan menyenaraikan nama mereka sebelum hari pengumuman keputusan.

“Slip keputusan awal boleh dimuat turun pada 10 Jun melalui pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my manakala slip keputusan penuh hanya boleh dimuat turun mulai 14 Jun di laman web myresult3.moe.gov.my,” katanya.

Tambah Pkharuddin, rayuan untuk semakan semula keputusan SPM dalam masa 30 hari dari tarikh pengumuman rasmi keputusan peperiksaan SPM 2020.

Seramai 401,105 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

SPM 2020 merupakan ujian paling getir buat pelajar Tingkatan Lima selepas jadual peperiksaan ditunda manakala calon mengulang kaji pelajaran secara dalam talian susulan penutupan sekolah akibat penularan Covid-19.

Sesi persekolahan tahun ini juga terjejas dengan murid atau pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi mengelak jangkitan Covid-19. UTUSAN

Tiada ulasan: