Jumaat, 7 Mei 2021

Rampasan tunggul kayu ikut undang-undang

 Oleh ROSLIZA MOHAMED

Abdul Khalim (kanan) menunjukkan tunggul dan produk kayu yang dirampas di Rantau Panjang baru-baru ini.

KOTA BHARU – Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan dakwaan bahawa rampasan longgokan tunggul kayu pelbagai spesis di Tanah Merah baru-baru ini tidak mengikut undang-undang seperti yang ditularkan oleh pengusaha premis tersebut.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, pihaknya menyita produk kraftangan itu mengikut undang-undang dan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kelantan setelah kertas siasatan siap.

Katanya, kesalahan yang dilakukan pemilik premis itu tertakluk kepada Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang.

“Ketika serbuan dijalankan, lelaki itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada JPNK berhubung dengan pemilikan hasil hutan yang berada dalam kawasan premis.

“Sehubungan dengan itu, kompaun mengikut Seksyen 10 (2) Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu kesalahan yang boleh dikompaun di bawah subseksyen (1) dikeluarkan selepas didapati melakukan kesalahan bagi pertama kali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

 Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, JPNK merampas kira-kira 10 tan tunggul, kulit, bongkah kayu dan produk hasil hutan dalam tiga serbuan berasingan di sebuah kilang kayu serta dua premis di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan itu, ketiga-tiga syarikat perniagaan itu didapati menyimpan hasil hutan seperti kayu jenis tembusu, damar minyak dan mahogani tanpa dokumen yang sah dari JPNK pada 29 April hingga 1 Mei lalu.

Selepas serbuan itu dijalankan, tular pula di media sosial dakwaan bahawa JPNK tidak berhati perut dengan membuat rampasan kayu di sebuah premis tanpa mengeluarkan sebarang notis. – K! ONLINE

Tiada ulasan: