Sabtu, 8 Mei 2021

Polis perketat PKP, Lebuh Raya Persekutuan sesak teruk

Keadaan lalu lintas yang sesak di sempadan Selangor-KL di Lebuh Raya
 Persekutuan. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Kesesakan teruk berlaku di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur selepas polis memperketatkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sekatan jalan raya (SJR) dibuat di pintu gerbang menandakan sempadan Selangor-KL, dan barisan kenderaan yang panjang dilihat di kedua-dua arah, di dua laluan yang dibuka untuk membolehkan polis membuat pemeriksaan.

Bawah PKP terkini, perjalanan antara daerah tidak dibenarkan kecuali untuk kecemasan, kematian atau urusan kerja.

Perjalanan merentas negeri pula langsung tidak dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata SJR akan diadakan sepanjang PKP, di kedua-dua arah.

“Jadi saya mahu menasihatkan mereka yang tidak mempunyai urusan penting supaya menghindari laluan ini bagi mengelak berlaku kesesakan jalan raya,” katanya ketika dihubungi FMT.

SJR itu dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Brickfields, katanya.

Media sosial dipenuhi gambar serta video menunjukkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan, yang juga antara laluan utama menghubungkan KL dengan Selangor.

Tiada ulasan: