Isnin, 10 Mei 2021

Polis jumpa petunjuk baharu siasatan Geng Nicky

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) membuat pemeriksaan di sebuah pusat beli-belah di Tebrau sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU: Polis menemukan petunjuk baharu selepas menjalankan siasatan awal terhadap 12 pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditahan kerana dipercayai menjadi tali barut kegiatan jenayah ‘Geng Nicky’.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya bagaimanapun tidak memaklumkan intipati petunjuk terbabit kerana siasatan sedang berjalan.

“Suspek yang ditangkap sebelum ini masih menjalani proses soal siasat yang mana banyak petunjuk baharu ditemukan daripada siasatan dijalankan.

“Kita tunggu dahulu, jika ada sebarang perkembangan nanti saya akan maklumkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Seelong, di sini, hari ini.

Pada 27 April lalu, Polis Johor mendedahkan seramai 12 pegawai penguat kuasa ditahan selepas disyaki terlibat dalam melindungi kegiatan jenayah terancang yang didalangi ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Ayob Khan turut menegaskan, suspek yang dipercayai terlibat dengan Geng Nicky dan telah dibebaskan baru-baru ini bukan dilepaskan daripada tuduhan.

Sebaliknya, beliau berkata, suspek dilepaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan.

“Ada orang tanya, kenapa suspek yang ditangkap sebelum ini dibebaskan. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis bukan dibebaskan sebebas-bebasnya.

“Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan sebelum akan ditentukan untuk dituduh di mahkamah atau sebaliknya,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang pegawai penyiasat kanan polis yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dipercayai mempunyai kaitan Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan polis.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Asisten Superintenden Baldev Singh Gurdial Singh, 36. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: