Ahad, 9 Mei 2021

Pengawal keselamatan maut, motosikal langgar jentera JCB

Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
KEADAAN motosikal ditunggang Mohamad Syawal Redzuan Mohd. Johari selepas melanggar sebuah jentera JCB dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Bahau-Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, pagi tadi.

JEMPOL: Seorang pengawal keselamatan maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah jentera binaan JCB di Kilometer 2 Jalan Bahau-Rompin, di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku pada pukul 8.45 pagi dan mangsa, Mohamad Syawal Redzuan Mohd. Johari, 19, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha yang ditunggangi mangsa dan sebuah jentera JCB dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun.

“Siasatan awal mendapati jentera JCB dari arah Bahau menuju ke Kampung Pah Kah Choon. Apabila sampai di lokasi kejadian, semasa kenderaan itu ingin membelok ke kanan, tiba-tiba datang motosikal dari arah belakang dipercayai cuba memotong jentera tersebut dan melanggar bahagian sisi kanan JCB.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kejadian di siasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: