Isnin, 10 Mei 2021

Pandangan institusi mufti bukan untuk diperlekeh

ainulillia

‘Kalau semua nak pakai pandangan sendiri, tak rujuk pandangan mufti maka berlakulah perpecahan berterusan’

KOTA BHARU – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan, orang ramai perlu perlu menghormati pandangan yang dilontarkan oleh institusi mufti berkaitan dengan fatwa.

Ini kerana, katanya, fatwa itu telah mengambil kira semua aspek berlandaskan kepada hukum dan syariat yang terkandung dalam al-Quran, hadis serta sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mereka yang pakar dalam agama Islam.

“Walaupun orang ramai berbeza pandangan, namun apa yang dilontarkan oleh mufti wajar dirai dengan berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan ringkas kepada anak-anak yatim di Madrasah Al Uzma Lil Aitam, Kampung Chekok.

Ahmad Marzuk seperti dilapor Sinar Harian berkata, tindakan meremehkan pandangan atau fatwa dikeluarkan badan berkenaan terutama di media sosial adalah tidak wajar.

Beliau menjelaskan, mereka adalah institusi terakhir yang bertanggungjawab dalam urusan agama berkaitan dengan fatwa, persoalan berbangkit dalam perihal hukum-hakam Islam ialah mufti.

Justeru, Ahmad Marzuk berkata, apabila mufti dihormati secara tidak langsung perpaduan dalam negara dapat diperkukuhkan.

“Kalau semua orang nak pakai pandangan sendiri, tak rujuk kepada pandang akhir daripada mufti maka berlakulah perpecahan berterusan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: