Sabtu, 8 Mei 2021

'Kami cuma bertemu sejam di KLIA'

TEMERLOH: Anggota polis yang mati tertembak oleh rakan sendiri di kediaman mereka kelmarin, pernah menyatakan hasrat ingin membawa isteri dan anaknya yang berusia setahun dua bulan berpindah ke Sibu, Sarawak selepas Aidilfitri.

Nurfitrah Ramli, 24, isteri kepada Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, 25, berkata hasrat suaminya itu dinyatakan tidak lama dahulu.

Pada hari kejadian, beliau cuba menghubungi Norhalim lebih 50 kali tetapi berasa hairan apabila semua panggilan tidak dijawab.

"Biasanya dia akan jawab walaupun ketika bertugas.

"Macam-macam yang saya fikirkan hinggalah mendapat panggilan daripada rakannya kira-kira jam 8 malam dan memaklumkan kejadian itu.

"Saya hampir pengsan menerima berita itu," katanya ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, hari ini.

Nurfitrah berkata, suaminya bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu sejak dua bulan lalu selepas menamatkan kursus kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat.

Katanya, mereka tidak pernah bertemu sepanjang suaminya berkursus selama enam bulan berikutan situasi pandemik COVID-19.

"Kami hanya dapat berjumpa sejam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dia berangkat ke Sarawak.

"Dalam tempoh sejam itulah kami melepaskan rindu dan dia menatap wajah anak kami, Nur Alisya, buat kali terakhir," katanya yang tinggal bersama ibunya di Felda Bukit Damar, Lanchang.

Siasatan awal polis mendapati, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau sambil mengacukan pistol ke arahnya sebelum tertekan picu dan tertembak ke arah kanan kepala Norhalim sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mangsa, Jamilah Daman, 60, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik itu berminat menjadi anggota polis sejak kecil.

"Cita-citanya tercapai tetapi hayat dalam kerjaya itu terlalu singkat," katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar mencadangkan kerajaan menyediakan skim pencen kepada isteri mangsa bagi membesarkan anak tunggal pasangan itu.

Jenazah Norhalim dijangka tiba ke Felda Bukit Damar, Lanchang dari Sibu, malam ini.

Tiada ulasan: