Isnin, 10 Mei 2021

Jual nasi bungkus kepada kaki ponteng puasa secara bergerak

Oleh NUR ANATI JUHARI dan MOHD RAFIE AZIMI
SEBUAH kereta jenis Proton Saga ditahan selepas disyaki menjual nasi bungkus kepada 

ALOR SETAR: Kegiatan seorang lelaki menjual nasi bungkus kepada kaki ponteng puasa secara bergerak menggunakan keretanya dikesan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) di Mergong, di sini, hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an yang berasal dari Alor Setar itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi dalam operasi bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang dilakukan hasil aduan orang awam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah bungkusan makanan di dalam plastik hitam di but kereta jenis Proton Saga berkenaan.

“Lelaki terbabit dipercayai menjual nasi bungkus itu sejak awal Ramadan dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, nasi bungkus lauk ayam goreng dan telur rebus itu dijual pada harga RM6 sebungkus.

“Taktik yang digunakan lelaki ini ialah dengan berniaga menerusi but kereta sambil menunggu pelanggan tetap untuk datang membeli,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu, segelintir penghantar makanan juga dikesan menjalankan tugasnya walaupun mereka mengetahui pesanan tersebut dibuat oleh seorang individu muslim pada Ramadan ini kerana tidak mahu ‘ratingnya’ jatuh.

Katanya, perkara tersebut terbongkar selepas seorang penghantar makanan ditahan dalam di sebuah restoran di Mergong.

“Penghantar makanan itu mendakwa dia bimbang ratingnya jatuh dan tetap juga menghantar makanan kepada pelanggan beragama Islam di bulan Ramadan.

“Namun setelah diberikan nasihat, dia akhirnya akur dan membatalkan tempahan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, restoran tersebut telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan penghantar makanan sejak dari awal pagi pada Ramadan ini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: