Jumaat, 7 Mei 2021

Hentikan SOP keliru rakyat, gesa pakar perubatan

Dr Lee Boon Chye berkata bazar Ramadan mempunyai SOP yang berbeza.

PETALING JAYA: Pakar perubatan menggesa kerajaan menyeragamkan SOP di seluruh negara kerana lebih banyak sekatan pergerakan berskala lebih kecil mungkin dilaksanakan kelak.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penyeragaman pelbagai sekatan pergerakan penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak boleh mempunyai sebuah negeri membenarkan restoran beroperasi sehingga tengah malam dan negeri lain sehingga 10 malam, atau perbezaan lain. Sekarang, apabila kerajaan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau bersyarat (PKPB), rakyat sepatutnya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya kepada FMT.

Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan seperti PKP, PKPB, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), setiap satu dengan peraturan berbeza dan kadangkala bertindih.

Dr Lee Boon Chye.

Lee berkata, kerajaan sering mengubah SOP selepas lebih setahun sekatan pergerakan dilaksanakan.

“Ia sepatutnya ringkas dan mudah.”

Mengenai bazar Ramadan, katanya, kerajaan perlu menyeragamkan SOP di bawah PKP kerana sebuah negeri membenarkan peniaga beroperasi, tetapi yang lain melarangnya.

“Sebaik saja tahap sekatan pergerakan diumumkan, SOP standard yang sejajar dengan tahap itu perlu dilaksanakan segera.”

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mengumumkan bazar Ramadan di Kuala Lumpur dibenarkan terus beroperasi ketika PKP.

Tetapi, kerajaan Selangor pada Rabu mengumumkan bazar Ramadan di enam daerah dikenakan PKP tidak boleh berniaga mulai Sabtu ini.

Lee turut meminta Kementerian Pendidikan tampil dengan senarai SOP yang jelas untuk sekolah sebaik saja PKP atau PKPP diumumkan.

Dr Mathen Nair.

Pakar perubatan, Dr Mathen Nair berkata, penetapan SOP sepatutnya di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, bukannya negeri.

“Ia adalah masalah negara dan ia patut diseragamkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Selangor mempunyai pasukan petugas yang baik untuk menguruskan kes Covid-19, tetapi “bagaimana dengan Perlis dan Kelantan? Adakah mereka mempunyai jawatankuasa untuk Covid-19 yang berkesan?”

Disebabkan itu, katanya, Putrajaya perlu menyeragamkan SOP untuk semua negeri bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau turut menggesa kerajaan mengumumkan SOP untuk pusat tahanan, penjara dan tapak pembinaan yang melaporkan banyak kes Covid-19.

“Terdapat banyak kes aktif di (depot) imigresen dan penjara, tetapi kita masih tidak tahu SOP.”

Tiada ulasan: