Jumaat, 15 Januari 2021

‘Kalau pasar malam tak buka dalam 3 bulan, kami kumpul depan pejabat PM’

Malaysiakini

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah menggesa kerajaan membenarkan golongan peniaga pasar malam meneruskan operasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, dia menjangkakan PKP akan berlanjutan lebih lama daripada tempoh dua minggu, sedangkan peniaga pasar malam yang tidak memperoleh pendapatan tinggi pasti terkesan jika terus tidak dibenarkan berniaga.

Katanya, sekiranya peniaga masih tak dibenarkan berniaga dalam tempoh tiga bulan dari sekarang, dia dan peniaga-peniaga pasar malam akan berkumpul di hadapan pejabat perdana menteri bagi menyuarakan tuntutan mereka.

“Kita akan tunggu keputusan kerajaan pusat macam mana, sama ada peniaga pasar malam boleh meniaga atau pun tak boleh.

“Kalau PKP dilanjutkan sehingga bulan Mac, sekiranya mereka (peniaga) tak dapat berniaga, kita akan ramai-ramai tunggu depan pejabat perdana menteri. Kita mintalah apa yang kita nak minta.

“Sebab waktu pilihan raya mereka minta undi kita, kita dah bagi. Jadi hari ini kita nak minta dari kerajaan, apa yang boleh bantu kita,” katanya dalam sidang media di Semenyih, Selangor.

Sekiranya peniaga pasar malam - termasuk bazar malam - memang tidak akan dibenarkan untuk berniaga sepanjang PKP, Ridzuan mencadangkan kerajaan memberikan pampasan buat mereka yang kehilangan punca pendapatan.

Sidang media itu turut disertai pengerusi persatuan peniaga-peniaga kecil Selangor, Nozhar Che Nor yang mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti PKP kali pertama dahulu diguna pakai kali ini.

Katanya, penyelaras dan peniaga pasar malam berjaya mematuhi SOP - seperti mengasingkan jalan keluar dan masuk, memeriksa suhu, memastikan pemakaian pelitup muka dan pensanitasi tangan - sehingga tidak ada kluster pasar malam tercetus dalam jangkitan Covid-19.

Kerajaan mengumumkan PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk tempoh 14 hari bermula 13 Jan sehingga 26 Jan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Negeri-negeri lain pula terlibat dalam PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP), berdasarkan kadar jangkitan negeri masing-masing.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, operasi pasar malam dan bazar malam adalah tidak dibenarkan sepanjang PKP 2.0.

Sementara itu, seorang peniaga pasar malam, Fadzil Abdul Aziz, memohon kerajaan mempertimbangkan kemelut dihadapi peniaga pasar malam, dan memberi jaminan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan sekiranya mereka dibenarkan berniaga semula, seperti yang telah dibuktikan semasa pelaksanaan PKP sebelum ini.

Meskipun mengakui dalam musim Covid-19 ini, pendapatannya terjejas gara-gara bilangan pengunjung jatuh merudum, setidak-tidaknya, katanya, mereka boleh meneruskan hidup untuk menanggung keluarga dan komitmen berbanding tidak berniaga langsung.

“Kalau tuan-tuan tak boleh bantu kami dari segi kewangan, bagilah kami sendiri mencari rezeki kami. Janganlah tutup jalan kami.

“Saya harap pihak-pihak berkenaan, tolonglah, berilah kerjasama. Berilah kelapangan bagi pihak kami untuk meniaga balik. Kami pun ada banyak perkara nak kena selesai,” kata peniaga laksa dan mi jawa sejak 30 tahun lalu, yang sebelum ini berniaga pasar malam di Kajang.

PKP mula dilaksanakan kali pertama pada 18 Mac tahn lalu, sebelum dilongarkan secara berperingkat menerusi PKPB dan PKPP.

Tahun lalu, dalam PKP 1.0, pasar malam dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Jun, dalam fasa PKPP yang bermula 10 Jun 2020, dengan syarat mematuhi SOP ketat yang disediakan.

Persoal SOP masjid sama seperti persoal sultan - Ismail

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada mereka yang mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) ketat di masjid, agar tidak menyalahkan kerajaan pusat.

Sebaliknya, katanya, SOP untuk masjid terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, yang terletak di bawah kuasa sultan-sultan negeri.

“Kalau ada yang mempersoalkan SOP masjid yang ketat, bermaksud mereka mempersoalkan perintah daripada sultan dari negeri-negeri yang berkaitan.

"Perlu berhati-hati dalam keluarkan kenyataan yang salahkan kerajaan...ia dianggap ditujukan kepada sultan di negeri-negeri.

“[...] Bila salahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bermaksud menyalahkan pihak berkuasa agama negeri, dan juga sultan-sultan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Ismail menjawab kritikan sebahagian pendakwah berkenaan SOP bagi masjid yang berbeza mengikut negeri.

Katanya, kerajaan pusat dan MKN tiada peranan dalam menentukan SOP di masjid.

“Tak ada kena-mengena sekali pun dengan kerajaan persekutuan, khususnya MKN,” kata Ismail.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Sultan merupakan ketua agama Islam di negeri.

Yang di-Pertuan Agong pula menjadi ketua agama Islam untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, selain Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak - iaitu negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan.

Bagaimanapun, di bawah Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berada di bawah Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ini bermakna ada kemungkinan penglibatan persekutuan dalam menetapkan SOP di masjid di kawasan-kawasan terbabit.

Kumpulan hak asasi tak setuju ATM diberi kuasa tahan Pati

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kumpulan hak asasi Tenaganita membidas kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan pelaksanaan proklamasi darurat membolehkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki sempadan negara.

Pengarah eksekutifnya Glorene A Das berkata, kenyataan Ismail mencerminkan kegagalan pihak imigresen dan pihak berkuasa lain yang berkaitan mengawal sempadan dengan berkesan.

“Menggunakan darurat, meminta tentera memburu dan menahan pendatang asing tanpa proses undang-undang adalah jelas merupakan salah guna kuasa.

“Menguatkuasa undang-undang, termasuk Akta Imigresen mesti dilakukan dengan semangat keadilan dan Bonum Commune (kebaikan bersama masyarakat) tidak menindas yang tertindas serta menanamkan rasa takut kepada mereka sehingga menyebabkan mereka berputus asa, "katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, gesaan Ismail untuk mengarahkan ATM menahan pendatang asing menunjukkan kelemahan sistem Imigresen Malaysia hari ini dan bagaimana pendatang asing dieksploitasi untuk membenarkan darurat.

Dia turut menasihati menteri tersebut supaya tidak menyalahkan pekerja asing susulan peningkatan kes Covid-19.

“Ia sangat membimbangkan, kerana kenyataan sebegitu nampaknya berpunca dari permusuhan yang mendalam dan berakar umbi terhadap orang asing dari luar khususnya yang dipandang rendah dalam masyarakat.

“Kenyataan itu turut menberi bayangan jelas tentang xenofobia yang serius, selain menanam kebencian terhadap pekerja asing,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Langkah itu dilakukan di saat negara mencatat kes empat digit sejak November tahun lalu.

Ismail berkata dengan pelaksanaan darurat ini, ia memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengawal penularan Covid-19 dan mengenakan denda yang lebih tinggi kepada syarikat yang tidak mematuhi peraturan.

Sementara itu, Penyelaras Lawyers for Liberty Zaid Malek turut meluahkan rasa bimbang dengan kenyataan Ismail berhubung kuasa ATM untuk menahan pendatang asing.

“ATM dilatih untuk berperang dalam konflik bersenjata melawan penceroboh asing dan bukan menahan orang awam.

“Kuasa untuk menahan rakyat biasa patut dilakukan hanya oleh pihak polis, yang dilatih untuk membuat penahanan demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihak tentera hanya boleh digunakan untuk membantu polis memastikan kepatuhan perintah kawalan pergerakan.

Sajat masuk hospital, alami tekanan perasaan

Wartawan MalaysiaGazette 
 MGF16122019_SAJAT_01_1
Ahli Perniagaan Kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai ‘Sajat’ hadir bagi perbicaraan penuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman mengakui dia kini mengalami tekanan perasaan sehingga terpaksa makan ubat tidur selama empat hari berturut-turut.

Menerusi InstaStory di Instagram miliknya, Sajat turut berkongsikan fotonya memakai alat pernafasan di sebuah pusat perubatan.

“Bila mati..semua akan tenang. 2021 aku nak tenang, aku nak bahagia. Aku nak hidup macam keluarga lain..Insyallah. Terima kasih. Buat saya makin dekat dengan tarikh mati saya,” tulisnya.

Baru-baru ini, Sajat memaklumkan dia ditahan di Pusat Penahanan Sementara (PPS), Kuala Kubu Bahru pada 6 Januari lalu.

Ujarnya, siasatan dilakukan susulan laporan yang dibuat pada 23 Ogos 2018 di mana dia mengenakan pakaian wanita ketika majlis doa selamat yang diadakan di Wisma Nur Sajat, Seksyen 16 Shah Alam.

Dakwa Sajat, 36, dia ditahan dan telah dilayan tidak wajar walaupun datang bertujuan memberi keterangan dan kerjasama pada pihak Jabatan Agama Islam Selangor.

“Saya berhak diberi hak asasi kemanusiaan untuk hidup seperti manusia lain juga. Saya amat sedih dan kecewa dengan kejadian ini kerana kesan daripada kejadian mengganggu perniagaan saya dan mental,” katanya sebelum ini. – MalaysiaGazette

PEMBERITAHUAN:

 BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Demi rakyat, inilah tiga wira sebenar

Manzaidi Mohd Amin
R3kHKi7k
Tiga menteri ini langsung tidak campur tangan isu politik, sebaliknya menumpukan usaha menyelamatkan nyawa rakyat dari wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR – Tiga menteri yang bertungkus lumus bekerja siang malam memastikan rakyat dan negara selamat dari wabak pandemik Covid-19, wajar dinobatkan sebagai wira.

Aktivis politik, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, mereka ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, walaupun tiga menteri ini mempunyai jawatan dalam parti, tetapi mereka sebolehnya tidak terlibat dalam keberantakan politik dalaman parti.

Sebaliknya, mereka secara konsisten memfokuskan usaha menyelamatkan nyawa rakyat dari terus dicengkam dengan serangan virus Covid-19.

wank05
Wan Khairul Ihsan

“Pada pemerhatian saya sepanjang keberantakan politik dalam UMNO, mereka tidak pernah membuat sebarang kenyataan politik kepartian. Mereka hanya secara konsisten menumpukan usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

“Inilah wira sebenar yang tidak didendangkan oleh rakyat mahu pun rakan dalam parti. Mereka habiskan masa untuk menyelesaikan keperluan mendesak vaksin agar seluruh rakyat dapat diberikan keselamatan kesihatan yang terjamin,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette, di sini, hari ini.

Wan Khairul Ihsan berkata, tiga menteri ini adalah dari Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, mereka diberi jawatan penting untuk mengepalai usaha memerangi pandemik Covid-19 dan pasca pandemik itu, termasuk memastikan rakyat mendapatkan vaksin dalam kadar segera.

“Mereka juga Ahli Parlimen yang telah menaikkan nama UMNO dan BN sebagai menteri yang cukup berkualiti jika dibandingkan dengan tahap serta pengalaman menteri zaman Pakatan Harapan (PH).

“Namun, ada rakan dalam parti mereka memandang sinis ketiga-tiga wira ini kerana dilihat fokus kepada kerja menteri, dan langsung tidak memberikan ulasan berkaitan politik serta polemik kepartian.

“Ada juga rakan dalam parti melihat wira ini seolah selesa dengan kerusi empuk dalam kerajaan, tetapi hakikatnya, mereka ini setiap hari dan waktu bekerja keras memastikan vaksin berjaya dibawa masuk dan diberikan kepada rakyat secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, dalam kekangan masa dan usaha yang amat terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, cahaya harapan rakyat semakin dekat untuk direalisasikan oleh kerajaan dengan mempercepatkan proses mendapatkan vaksin ke negara ini.

Ini menurutnya, termeterai apabila semalam, satu perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia melalui PharmaNiaga Berhad iaitu anak syarikat Boustead Berhad telah ditandatangani dengan Sinovac dari China.

Katanya, beliau difahamkan, sebulan selepas tarikh MoU itu, Sinovac akan membuat penghantaran vaksin fasa pertama kepada Malaysia melalui PharmaNiaga Berhad.

“Apabila vaksin mula diberikan kepada rakyat, maka kes baharu akan mula berkurangan dan negara menuju ke arah satu kejayaan dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Tahniah kepada tiga wira negara ini, kerana mementingkan nyawa dan kesihatan rakyat mendahului segala politik kotor serta gila kuasa peribadi sesetengah pihak.

“Kami bangga dan terus akan menyokong wira ini demi melakukan segala kebaikan dan meraikan kejayaan bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Kerja pembinaan perlu dihenti sepanjang tempoh PKP – Kementerian Kerja Raya

Bernama
MG151019_HUMAN-INTEREST-KL04
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembinaan perlu dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri yang terlibat, kecuali bagi kerja-kerja yang disenaraikan Perkhidmatan Perlu, kata Kementerian Kerja Raya.

Menurut kenyataan kementerian itu, kerja-kerja perlu merangkumi, antaranya penyelenggaraan dan pembaikan kritikal seperti pembaikan cerun dan jalan; pembinaan infrastruktur awam utama serta pembinaan bangunan bagi projek yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Pengecualian juga diberikan bagi operasi perkhidmatan profesional/perunding serta perkhidmatan lain dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan dan penghantaran bahan, terhad kepada tapak bina yang diluluskan beroperasi.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) berkaitan PKP yang dikeluarkan kementerian itu, kebenaran beroperasi perlu diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) MITI.

Majikan juga perlu mematuhi peraturan waktu operasi yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, pekerja pembinaan tidak dibenar berpindah dari satu tapak bina ke  tapak yang lain, di samping mereka perlu membawa pas pekerja yang sah atau surat kebenaran majikan dan surat kelulusan beroperasi CIMS MITI untuk sebarang pergerakan.

Menurut FAQ itu, Pegawai Penguasa Projek bertanggungjawab memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya serta mengawal pergerakan keluar/masuk di tapak bina sepanjang tempoh PKP.

Kementerian itu turut mengulangi arahan semua pekerja asing diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Bagi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik kerana kit ujian RTK Antigen telah dibekalkan oleh Perkeso kepada klinik panel,” menurut FAQ itu.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. – MalaysiaGazette

Kapal dipercayai berusia ratusan tahun ditemukan selepas banjir

kapal-lama

KUANTAN – Rangka sebuah kapal lama yang dipercayai berusia ratusan tahun ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, kapal yang diperbuat daripada kayu dan logam itu dipercayai timbul kesan daripada banjir yang melanda daerah itu pada 3 Jan lepas, sebelum banjir surut kira-kira seminggu kemudian.

Azli berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan kapal itu oleh seorang wanita berusia 50 tahun yang merupakan penduduk kampung tersebut sekitar 5 petang, dan sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat satu objek logam yang tertera tulisan VIVIA AND SONS SHEATING pada badan kapal itu. Terdapat juga angka 16 yang dipercayai mungkin angka berat atau ketumpatan tembaga.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Warisan Malaysia yang dijadualkan tiba bagi membuat pemeriksaan lanjut dan buat masa ini, kawasan sekitar kapal itu berada dalam jagaan polis,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Azli berkata, pemeriksaan pihak polis juga mendapati beberapa komponen pada badan kapal tersebut telah tiada dan berdasarkan temu bual dengan mereka yang tinggal berhampiran, komponen tersebut dipercayai diambil oleh sekumpulan penduduk kampung.

Sehubungan itu, Azli mengingatkan mereka yang berbuat demikian untuk segera memulangkan komponen tersebut kerana menyimpan barang atau harta warisan adalah satu kesalahan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Jika sabit kesalahah, mereka yang terlibat boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun.

“Akta itu menetapkan orang awam yang menjumpai barang warisan hendaklah segera melaporkannya kepada pihak berwajib dan tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan simpanan atau koleksi.

“Objek yang dijumpai selepas akta tersebut berkuat kuasa juga adalah menjadi hak mutlak kerajaan Persekutuan dan pampasan boleh dibayar kepada pemilik tanah jika ia dijumpai di atas tanah hak milik,” katanya.

Azli menambah, pegawai penguat kuasa atau polis boleh menangkap individu yang dipercayai melakukan kesalahan seperti merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah objek warisan tanpa kebenaran. – Bernama

Pendaftaran vaksin COVID-19 untuk rakyat dibuka tidak lama lagi – Adham Baba

vaksin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia akan dibuka tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya setiap individu akan menerima dua dos vaksin bagi memastikan perlindungan penuh daripada jangkitan virus itu.

”Mereka yang menerima vaksin perlu menyimpan kad yang akan kita berikan ketika kali pertama mereka diberi suntikan.

”Ini bagi memastikan mereka yang telah disuntik mendapat dos kedua mengikut tarikh yang telah ditetapkan, biasanya dalam julat 21 hari,” katanya semasa menjadi tetamu program Bicara DR di RTM 1 malam tadi.

Dr Adham bagaimanapun tidak berkongsikan tarikh pendaftaran akan dibuka.

Pada masa sama beliau menegaskan penerima vaksin tetap perlu mengamalkan norma baharu bagi memastikan perlindungan optimum.

Ini kerana katanya, matlamat utama imunisasi COVID-19 ialah bagi melindungi petugas barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti kelompok dan seterusnya memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

Malaysia dijadualkan menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada akhir Februari ini dan telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette

Usah sentuh hak jaminan pendeposit TH – Asyraf

MGF17092020_CERAMAH-UMUM-BN-TAWAU-7
Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO memandang serius kenyataan Senator Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyatakan satu usaha sedang dijalankan oleh pihaknya dan Kementerian Kewangan untuk menyemak semula ketetapan jaminan kerajaan termasuklah kemungkinan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang yang didepositkan oleh para pendeposit ke dalam Tabung Haji (TH) adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Ini bermakna jika berlaku keadaan TH tidak mampu membayar balik tanggungan wang pendeposit akibat TH menjadi muflis atau kerugian, maka kerajaan akan mengambil alih tanggungan tersebut dan membayar balik setiap sen wang pendeposit, katanya.

Asyraf berkata, TH mempunyai ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan, yang bermakna ia memberikan kelebihan kepada TH berbanding bank-bank komersil dan institusi kewangan yang lain.

Disebabkan itu, rakyat lebih memilih untuk menyimpan dalam TH sehingga dana TH mencecah RM75 bilion berbanding jaminan simpanan di bank-bank komersil hanya setakat RM250,000 oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

“Usaha meminda Seksyen 24 Akta 535 ini pernah diusahakan oleh Bank Negara di bawah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atas alasan meratakan padang persaingan dalam sistem kewangan negara, tetapi tidak dipersetujui oleh perdana menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak. Usaha untuk meminda Akta 535 tetap cuba diteruskan di zaman PH di bawah Gabenor baharu sehinggalah hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, Pemuda UMNO menentang keras sebarang usaha untuk ‘menanggalkan’ keistimewaan yang ada pada institusi unik umat Islam ini dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ke atas wang pendeposit TH.

”Sesungguhnya, TH adalah institusi yang cukup istimewa dan terlalu bernilai buat umat Islam yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi ummah sejak ditubuhkan pada 1963.

Justeru, Pemuda UMNO menggesa Menteri Agama tampil memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit bahawa Kerajaan Perikatan Nasional hari ini akan terus mempertahankan Jaminan Kerajaan terhadap setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan TH, tegas Asyraf. – MalaysiaGazette

PKP 2.0: Honda, Toyota, Perodua henti operasi

Honda merancang untuk menyambung semula operasi pada 26 Jan sebaik PKP 
semasa dijadualkan berakhir tetapi Toyota akan mengambil dasar ‘tunggu dan 
lihat’. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Toyota Motor dan Honda Motor menghentikan operasi di kebanyakan kilangnya, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 selepas industri pemasangan automotif dikategorikan sebagai perkhidmatan bukan keperluan utama.

Menurut laporan Nikkei Asia, Toyota menutup dua kilang pemasangannya pada Khamis manakala Honda di dua kemudahannya sehari sebelum itu.

Honda merancang untuk menyambung semula operasi pada 26 Jan, tarikh akhir PKP, bagaimanapun seorang wakil Toyota berkata keputusan muktamad mengenai tarikh sebenar itu akan dibuat kemudian.

Kilang pemasangan automotif pada mulanya dikategorikan sebagai industri keperluan utama, tetapi ditarik balik pada saat-saat akhir, petang Selasa lalu.

Malaysia adalah pengeluar kenderaan ketiga terbesar di Asia Tenggara, di belakang Thailand dan Indonesia. Sejak Jan hingga Nov tahun lalu, pengeluaran menyusut 19% kepada kira-kira 430,000 kenderaan.

Pada 2019, Toyota mengeluarkan kira-kira 61,000 kenderaan di Malaysia, termasuk kereta sub-kompak Yaris dan trak pikap Hilux.

Industri pengeluaran kenderaan menuju ke arah pemulihan sejak pengurangan cukai yang ditawarkan kerajaan bertujuan meningkatkan penjualan kenderaan penumpang.

Hasilnya, pengeluaran kenderaan secara automatik melebihi jumlah dari tahun ke tahun bermula Jun lalu.

Dalam pada itu, Perodua juga menghentikan operasinya pada Khamis.

Syarikat itu menjual 220,000 kenderaan tahun lalu dengan bahagian pasaran melebihi 40%.

Kerani wanita rugi RM112,000 diperdaya ‘pegawai Bank Negara’

Bernama
Mangsa berusia lingkungan 40-an menyedari ditipu sehari selepas menerima 
panggilan itu apabila menyemak akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah 
wang sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Padah mendedahkan maklumat akaun peribadi, seorang kerani akaun wanita kerugian RM112,000 akibat terpedaya dengan panggilan palsu sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada 2 Jan lalu apabila wanita berusia lingkungan 40-an itu menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengenai penggunaan kad kredit.

Dalam perbualan telefon itu, Beh berkata lelaki berkenaan memberitahu mangsa bahawa terdapat penggunaan kad kredit yang didaftarkan atas namanya dan kemudian menyambungkan panggilan itu kepada “pegawai Bank Negara”.

“Pengadu telah mendedahkan maklumat peribadinya setelah berjaya diyakinkan suspek yang menyamar sebagai ‘pegawai Bank Negara’ berkenaan tentang penyalahgunaan nama dalam urusan kad kredit itu.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu sehari selepas menerima panggilan itu apabila menyemak akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga,“ katanya pada sidang media.

Mengulas lanjut, Beh berkata sepanjang tahun lepas pihaknya menerima sebanyak 193 laporan polis berhubung panggilan palsu Macau Scam melibatkan kerugian sebanyak RM6 juta dengan 30% daripada jumlah kes itu berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Polis memandang serius kes-kes yang melibatkan panggilan palsu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap panggilan yang diterima dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Dalam kes berasingan, tujuh individu warga tempatan berumur 23 hingga 40 tahun termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit kes judi dalam talian semasa serbuan di sebuah kondominium di Kepong, pada 8.30 malam, 7 Jan lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi sejak tiga bulan lalu dan 27 komputer serta beberapa peralatan digunakan untuk kegiatan perjudian turut dirampas dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kerajaan boleh disaman jika langgar hak asasi ketika darurat, kata bekas hakim

Bekas hakim Gopal Sri Ram berkata, kerajaan boleh mengemukakan saman atau 
disaman bagi tindakan ketika darurat.

PETALING JAYA: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kerajaan ketika darurat jika hak asasi seseorang dilanggar, termasuk untuk mendapatkan pampasan adil bagi hartanah, kata seorang bekas hakim.

Gopal Sri Ram berkata, Perkara 150 (6) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kekebalan untuk ordinan melanggar hak asasi ketika darurat.

“Undang-undang mesti adil dan saksama,” katanya kepada FMT

Sri Ram berkata, Perkara 69 (2) turut menyatakan Putrajaya boleh memfailkan saman dan boleh juga disaman.

Beliau mengulas Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menetapkan pampasan untuk memperoleh bangunan dan sumber bagi memerangi Covid-19 tidak boleh dicabar di mahkamah atas sebarang alasan.

Ordinan itu turut menyatakan tiada tindakan boleh diambil terhadap kerajaan dan kakitangan awam kerana kecuaian atau keciciran jika dilakukan dengan niat baik.

Sri Ram berkata, Perkara 13 (2) menyatakan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

“Mahkamah Persekutuan juga memutuskan hak asasi kita adalah sebahagian daripada struktur asas perlembagaan. Jadi ordinan itu tidak boleh mengatasinya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu membuktikan tindakan wakilnya dilakukan dengan niat baik.

“Mereka tidak boleh mengambil kesempatan dengan pembelaan ini, sebaliknya mesti membuktikan elemen niat baik untuk membatalkan sesuatu saman,” katanya.

Tahap rasuah, salah guna kuasa kakitangan awam ‘membimbangkan’, kata SPRM

 MT Reporters

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mahu penjawat awam “membuka mata dan 
telinga” dan menjadi pemberi maklumat kepada SPRM untuk membanteras 
rasuah dalam kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tahap rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan awam membimbangkan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata, SPRM sedia maklum ramai kakitangan kerajaan terpalit isu rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan rekod dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Perkara itu amat membimbangkan dan sudah tiba masanya semua pihak khususnya penjawat awam bekerjasama dengan SPRM,” katanya.

Beliau mahukan penjawat awam “membuka mata dan telinga” dan menjadi pemberi maklumat kepada SPRM untuk membanteras rasuah dalam kerajaan.

Mereka perlu tampil melaporkan kegiatan rasuah di jabatan masing-masing supaya isu ketirisan dan salah guna kuasa dapat ditangani demi kepentingan semua.

“Sekiranya mereka kurang yakin untuk menjadi pengadu, mereka boleh memilih untuk menjadi pemberi maklumat dan dilindungi bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sekiranya dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan susulan pendedahan yang dibuat kepada SPRM,” katanya.

Menurut beliau, isu integriti dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

Beliau mengulas mengenai amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertajuk “Mendepani Cabaran, Melangkaui Ekspektasi” di Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam, semalam.

Khairul berkata, penjawat awam perlu mengambil tahu tentang perlakuan rasuah di tempat kerja dan mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Jadi kontak rapat timbalan menteri komunikasi dan multimedia, 4 ADUN Perlis kuarantin di rumah

ADUN Santan Azizan Sulaiman, Ruzaini Rais (ADUN Beseri), Asmaiza Ahmad (ADUN 
Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (ADUN Mata Ayer) menjalani kuarantin di rumah.

KANGAR: Empat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Menteri Besar Azlan Man.

Beliau berkata, empat EXCO itu menghadiri mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar pada 3 Jan lalu, turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang disahkan positif Covid-19 pada Rabu.

“Empat EXCO itu ialah Azizan Sulaiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Ruzaini Rais (ADUN Beseri), Asmaiza Ahmad (ADUN Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (ADUN Mata Ayer),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Kerajaan Negeri Perlis dalam Misi Bantuan Bencana Banjir Pahang di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

“Mereka memang menghadiri mesyuarat itu dan bersama-sama Zahidi, mereka secara sukarela membuat saringan Covid-19 dan keputusaan ujian akan diperoleh dalam masa terdekat sama ada hari ini atau esok,” katanya.

Azlan menasihatkan mana-mana individu termasuk wakil rakyat yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar segera menghubungi pusat kesihatan terdekat.

“Ia sebagai langkah awal dalam membendung penularan Covid-19 yang pasti memberi risiko besar kepada negeri ini,” katanya.

PKP di Kelantan bermula tengah malam ini

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Kelantan selama 14 hari bermula 16 hingga 29 Jan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP dilaksanakan susulan peningkatan kes mendadak di negeri itu.

BERITA LANJUT MENYUSUL 

24 maahad tahfiz, madrasah terima bantuan bencana RM176,000.

TEMERLOH: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberi bantuan bencana sebanyak RM176,000 kepada 24 maahad tahfiz dan madrasah yang terjejas banjir di negeri ini.

Fasa pertama sebanyak RM70,000 bantuan diberikan kepada sembilan pusat pendidikan Islamdi Temerloh dan Maran, masing-masing menerima antara RM5,000 hingga RM10,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abddul Rahman, berkata bantuan berkenaan diberikan susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda melawat Maahad Tahfiz Al-Amin, Kampung Berhala Gantang, di sini yang ditenggelami banjir.

Asmadi berkata, bantuan diberikan bagi meringankan beban kerugian harta benda maahad tahfiz dan madrasah selepas ditenggelami banjir minggu lalu. Terdapat dua lagi pusat pendidikan Islam berkenaan di Pekan dan Maran masih ditenggelami banjir.

Katanya, bantuan bencana yang diberikan MUIP ini adalah kali ketiga selepas kejadian banjir besar di Pahang berlaku pada 2014 dan 2017, dua kategori bantuan diberikan membabitkan kerosakan teruk dan ringan.

Sebahagian al-Quran, kitab dan buku di maahad tahfiz yang rosak akibat banjir. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Sebahagian al-Quran, kitab dan buku di maahad tahfiz yang 
rosak akibat banjir. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

"Kita juga akan mempertimbangkan bantuan lain terutama membabitkan kerusi, meja dan almari. Selepas ditenggelami banjir beberapa hari banyak peralatan berkenaan rosak serta tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat serta menyerahkan bantuan fasa pertama kepada sembilan Maahad Tahfiz dan Madrasah masing-masing dua di Maran dan tujuh di Temerloh, semalam.

Asmadi berkata, fasa kedua bantuan bencana kepada 15 maahad tahfiz dan madrasah di Lipis, Raub, Jerantut, Pekan dan Maran akan dilakukan dalam masa terdekat.

Dua kontena bawang dari China, Pakistan dirampas .

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor,

mematahkan cubaan membawa masuk dua kontena bawang merah serta bawang kuning dari China dan Pakistan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Barat, di sini, Selasa lalu.

Pengarah MAQIS, Dr Tarmisal Alimin, berkata dalam pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa MAQIS , merampas sejumlah 86,500 kilogram (kg) bawang merah dan kuning kerana gagal mematuhi Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) ditetapkan.

"Kedua-dua kontena itu mengandungi 86,500 kg bawang merah dan kuning yang dianggarkan bernilai RM179,822.85.

"Barang dagangan (bawang merah dan kuning) dirampas kerana tidak mematuhi syarat sepertimana yang dinyatakan pada permit import MAQIS iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarmisal berkata, kegagalan mengemukakan maklumat itu adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama," katanya.

Katanya, MAQIS mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

Tun Salleh Abas positif COVID-19

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas. - Foto e-mel
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas. - Foto e-mel

KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas disahkan positif COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed, berkata Mohamed Salleh yang juga Pengerusi syarikat amanah itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini dan berada dalam keadaan stabil.

"Pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun. Marilah kita sama-sama mendoakan kesihatan yang terbaik buat Pengerusi kita yang disayangi.

"Semoga Allah memberikan kesembuhan dan mempermudah segala urusan beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan bahawa Mohamed Salleh sedang dirawat di hospital berkenaan.

Beliau tidak memperincikan butiran lanjut mengenainya. – BERNAMA

PEMBERITAHUAN:

   BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Darurat bukan ketakutan kepada masyarakat

Oleh Media Mulia
ADZROOL IDZWAN ISMAIL

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat tidak seharusnya menjadi ketakutan kepada masyarakat dan membawa kecelaruan politik, sebaliknya ia dilihat akan mengekalkan kestabilan dalam menangani Covid-19.

Pengurus Unit Seni Reka dan Acara Komersial, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, perisytiharan darurat adalah tepat pada waktunya manakala golongan belia seharusnya kekal tenang dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, tempoh lapan bulan akan datang bakal melahirkan generasi belia yang berfikiran kreatif, lebih-lebih lagi dalam konteks kelangsungan hidup untuk menghadapi cabaran baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

“Darurat hanya satu mekanisme pentadbiran lebih jelas bagi membolehkan kerajaan mengetengahkan pendekatan serta strategi baharu dalam mengendalikan wabak Covid-19. 

“Perisytiharan ini juga membolehkan tindakan kerajaan dilaksanakan menggunakan saluran perundangan lebih kukuh, cekap, dengan proses kawalan penyakit berjalan dengan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, darurat merupakan langkah terbaik membendung Covid-19 yang semakin kritikal.

“Namun, dalam usaha memerangi wabak ini, GPMS berharap perhatian khusus boleh diberikan menerusi peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada graduan institusi pengajian tinggi dan teknikal agar belia tidak terbeban dengan masalah pengangguran.

“Perhatian turut diberikan kepada nasib pelajar dan pendidik golongan berpendapatan rendah (B40) dan yang tinggal diluar bandar dalam menjalani pembelajaran secara maya,” katanya.

Selain itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri berkata, pihaknya mengambil berat dan maklum akan darurat yang diumumkan kerajaan Selasa lalu.

“MPPK percaya langkah ini adalah inisiatif terbaik untuk membendung penularan Covid-19 memandangkan peningkatan kes mencecah lebih 2,000 kes. 

“Situasi menjadi lebih kritikal dengan kejadian banjir di sekitar kawasan pantai timur dan selatan mengakibatkan kerajaan perlu melakukan tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Turut menyuarakan sokongan, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.

Beliau berkata, darurat membolehkan keadaan politik negara menjadi stabil seketika agar fokus menangani wabak pemulihan ekonomi dapat dilaksana kerajaan.

“Pengumuman darurat ini dilakukan secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan diharapkan sebagai langkah terbaik terhadap usaha memberi fokus memerangani Covid-19 sepenuhnya.

“Langkah ini juga dapat memastikan proses pentadbiran negara dapat terus beroperasi dengan saksama,” katanya. – UTUSAN

MAIS dibenar jadi pencelah dalam kes Sisters In Islam

Oleh SUWARNI MOKHTAR

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) beroleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk menjadi pencelah dalam permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar satu peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Peruntukan yang dimaksudkan ialah Seksyen 66A yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar permohonan semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh badan itu atau mana-mana jawatan kuasa yang ditubuhkan dalam Enakmen Pentadbiran tersebut. 

Menurut peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili MAIS, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof membenarkan permohonan itu selepas mendapati badan tersebut mempunyai kepentingan langsung dalam permohonan oleh SIS itu.

Ini kerana MAIS berperanan dalam memberi nasihat kepada Sultan Selangor berkaitan hal ehwal agama Islam negeri itu. Kerajaan negeri Selangor yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Nur Irmawatie Daud juga tidak membantah terhadap permohonan itu.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, MAIS turut diwakili peguam-peguam iaitu Mohd. Akmal Abu Bakar dan Nor Adzrie Mohd. Noor manakala peguam Fahri Azzat hadir bagi pihak SIS.

Zainul Rijal turut memberitahu Mahkamah Persekutuan turut menetapkan 3 Februari ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Pada 21 Januari 2020, SIS Forum memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

Pada 27 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat atas alasan hanya Mahkamah Syariah Selangor boleh menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya turut menyatakan Seksyen 66A adalah ruang untuk memohon semakan kehakiman terhadap jawatan kuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia), Rozana Mohd. Isa, DUN Selangor tiada kuasa untuk menggubal Seksyen 66A kerana Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan ia menggubal undang-undang berkaitan Syariah ke atas orang yang menganut agama Islam.

Katanya, Seksyen 66A sebaliknya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Selangor ke atas jawantakuasa fatwa dan majlis agama, yang bukan merupakan “orang yang menganut agama Islam”.

SIS juga memohon deklarasi bahawa sub-definisi “orang Islam” dalam Seksyen 2 Enakmen 2003 – dalam sub-perenggan b,c d, dan f – dan frasa “dan termasuklah Majlis Agama Islam Selangor…” sebagai tidak sah. -UTUSAN ONLINE

NGO perlu mohon kebenaran beri bantuan banjir

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA: Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghantar bantuan ke kawasan terlibat banjir perlu memohon dan mendapat  kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Negeri (JPBN) atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JPBN atau JPBD akan mengeluarkan surat kebenaran dan surat  tersebut boleh digunakan oleh NGO untuk melepasi sekatan jalan raya pihak polis. 

Walau bagaimanapun, katanya, setiap NGO adalah digalakkan untuk  menumpukan aktiviti bantuan di kawasan berhampiran  atau dalam negeri yang sama bagi mengurangkan  pergerakan rentas negeri. 

“Kita faham banyak NGO  termasuk orang persendirian prihatin masalah rakyat kerana bencana banjir dan ramai akan turun ke kawasan terlibat. Namun pergerakan mereka dari zon merah misalnya membinbangkan penduduk negeri itu yang kes positif Covid-19 jauh lebih rendah.

“Oleh sebab itu kita mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) ini supaya tidak berlaku terlalu ramai pergi ke kawasan banjir dan boleh menyebabkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 pula,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban, Mukim 12 Daerah Barat Daya dan Mukim  13 Daerah Timur Laut, Batu Pahat dan Johor Bahru yang sepatutnya tamat pada hari ini diteruskan mengikut arahan terbaharu PKP di negeri masing-masing sehingga 26 Januari ini. 

Beliau berkata, PKP Diperketatkan  (PKPD) di Penjara Kluang dan  Kuarters Penjara Kluang, Johor pula ditamatkan seperti dijadualkan selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes aktif di  penjara ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal. 

Katanya, sebanyak 2,551 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 783 kes  positif direkodkan. 

Beliau menjelaskan PKPD di Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman  Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor turut ditamatkan selepas 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 164 kes  positif direkodkan.  

“Semua  orang kena tahan (OKT) yang positif telah sembuh serta dibenarkan pulang   dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan semua kontak rapat telah tamat tempoh kuarantin 10 hari,” katanya. 

Walau bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir,  Muar dilanjutkan sehingga 29 Januari ini kadar positiviti di lokaliti ini sangat  tinggi dan masih terdapat 1,104 baki kes aktif yang  ditempatkan di PKRC yang terletak dalam kawasan PKPD. 

Katanya, PKPD di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2,  Senai, Johor juga dilanjutkan sehingga tempoh sama apabila mendapati baki kes aktif di lokaliti ini masih lagi  tinggi dan terdapat 50 baki sampel saringan yang menunggu  keputusan. 

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 1,979 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 672 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Restoran ala kopitiam gaji 9 PATI diserbu

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
SEMBILAN PATI ditahan Imigresen dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah restoran ala kopitiam di Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu. - GAMBAR JABATAN IMIGRESEN

PUTRAJAYA: Sebuah restoran ala kopitiam di Petaling Jaya, Selangor diserbu Jabatan Imigresen Selasa lalu kerana dipercayai menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sembilan warga asing terdiri daripada enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, seorang wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 27 hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan pada pukul 2.30 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semasa operasi itu seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia premis terbabit dikenakan notis hadir memberi keterangan.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan, terdapat insiden provokasi apabila terdapat pekerja yang cuba merakam gambar dan video serta menganggu tugas pegawai imigresen.

“Namun, situasi ini berjaya dikawal dengan diplomasi tanpa sebarang insiden kekerasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah melanggar syarat pas.

Beliau berkata, kesemua tahanan itu ditempatkan di lokap Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut selepas keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif Covid-19.

Beliau menjelaskan, operasi dijalankan berdasarkan daripada maklumat aduan awam dan hasil risikan jabatan sekali gus seramai 16 pegawai Imigresen dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Putrajaya ditugaskan membuat serbuan ke atas premis tersebut.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

“Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat tentang PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan. – UTUSAN ONLINE

Darurat demi mudahkan kerajaan urus Covid-19.

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Pelaksanaan darurat yang dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini meletakkan keutamaan untuk mempermudahkan segala tindakan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah ordinan darurat yang akan diwartakan, kerajaan boleh mengarahkan hospital swasta menerima pesakit Covid-19 selain membolehkan makmal mereka turut diguna pakai bagi melaksanakan ujian saringan.

Kata beliau, ini termasuk membolehkan hospital swasta digunakan untuk fasiliti kuarantin jika fasiliti kesihatan awam tidak mampu lagi menampung kes-kes Covid-19.

“Di bawah ordinan darurat juga memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama seperti polis iaitu untuk menangkap dan dibawa ke lokap bagi kes-kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) merentasi sempadan terutama di laluan tikus.

“Kementerian Sumber Manusia juga boleh mengambil tindakan ke atas majikan yang berdegil tidak menghantar pekerja mereka melakukakan ujian saringan.

“Jadi banyak perkara boleh membantu kerajaan untuk mengatasi masalah pandemik Covid-19 yang sedang meningkat. Sebab itu pelaksanaan darurat diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, polis menahan 389 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 371 dikompaun manakala 18 direman.

Antara kesalahan itu katanya, tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan rekod butiran diri pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (61), membawa penumpang berlebihan (27), aktiviti pusat hiburan (16), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (9) dan aktiviti perjudian (8).

Jelas beliau, selain kesalahan itu ialah membawa pekerja asing tanpa permit atau gagal kemukakan dokumen pengenalan diri (7), ingkar arahan kuarantin (1) serta makan atau minum di premis tanpa kebenaran (3) dan lain-lain kesalahan (16).

“Operasi Benteng berjaya menangkap 138 PATI dan enam orang tekong serta merampas sebuah bot atau kapal dan 13 kenderaan darat selain sebanyak 267 sekatan jalan raya.

“Mengenai kuarantin wajib, secara kumulatif seramai 103,140 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu seramai 7,963 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 82 hotel dan 16 premis lain,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, sehingga semalam sebanyak 275 kertas siasatan telah dibuka pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 138 masih dalam siasatan, manakala 35 kes didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

“Dalam masa sama sebanyak 420 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sehingga 12 Januari lalu, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 142,009 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 5,164 majikan.

“Daripada jumlah ini sebanyak 2,846 disahkan positif dan kerajaan telah menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tindakan tegas langgar PKP bermula Sabtu

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi bermula Sabtu ini kepada mana-mana individu yang didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk mereka yang melakukan pergerakan rentas negeri atau daerah selepas diberi kelonggaran selama tiga hari bagi mereka yang terkandas. 

“Selepas 15 Januari ini tiada lagi kompromi dan tindakan tegas akan diambil. Kita sudah memberi ruang yang secukupnya sejak beberapa hari lalu.

“Tindakan kompaun boleh dikenakan terus di lapangan. Tujuan PKP bagi mengurangkan pergerakan. Apabila kedai tutup pukul 8 malam maka tiada keperluan untuk keluar (rumah),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini memberi kelonggaran pergerakan rentas negeri dan daerah sehingga esok untuk golongan tertentu bagi memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke destinasi masing-masing selepas PKP diumumkan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat salah faham bahawa orang ramai masih dibenarkan untuk pulang ke kampung sehingga esok disebabkan penularan berita palsu. 

“Ada satu laporan berita tular kononnya saya mengatakan  boleh balik kampung sehingga 15 Januari walaupun larangan  rentas negeri telah dilaksanakan sejak 13 Januari. 

“Saya ingin jelaskan bahawa ini adalah berita palsu. Apa yang saya sebut sebelum ini adalah bagi mereka yang  berada di kampung dan telah membeli tiket untuk kembali ke  tempat kerja masing-masing, boleh diberi kelonggaran untuk bergerak rentas negeri sehingga 15 Januari dengan kebenaran polis,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Jawatankuasa khas ditubuh siasat isu ciapan Twitter SKMM

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
 

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia  menubuhkan jawatan kuasa khas bagi menyiasat isu ciapan membabitkan Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jawatankuasa yang ditubuhkan hari ini dikenali sebagai Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di Akaun Rasmi Twitter SKMM.

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), dan dianggotai oleh empat orang ahli jawatankuasa.

Beliau berkata, jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dengan terperinci bermula esok khususnya mengenai isu ciapan tidak senonoh akaun Twitter SKMM tersebut.

“Kami akan mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terbabit serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewengan.

“Jawatankuasa ini juga mengesyorkan tindakan yang bersesuaian, antaranya tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tindakan sivil di mahkamah juga akan dibuat sekiranya wujud kecuaian atau salah laku dalam isu ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, langkah-langkah penambahbaikan juga akan dicadangkan bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang di masa hadapan. 

Mohammad berkata, siasatan akan dilaksanakan secara telus dan laporan hasil siasatan akan dikemukakan jepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersama-sama syor untuk tindakan selanjutnya dengan segera. -UTUSAN ONLINE

Emma Maembong dan suami positif COVID-19

Afiezy Azaman
Emma Maembong dan suami positif COVID-19
Emma berkata, dia dan suaminya tidak mengalami sebarang simptom 
namun keputusan ujian swab COVID-19 menunjukkan positif. - Instagram 
Emma Maembong
 
KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong dan suami, Muhammad Shazli Azhar, disahkan positif dijangkiti COVID-19.
 
Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail, dan suaminya mengesahkan perkara itu melalui video yang dimuat naik di Instagram, pada Khamis.
 
Namun, anak pasangan ini, Shariq Gabriel yang berusia tiga bulan, tidak dijangkiti virus berkenaan.
 
Pelakon itu berkongsi video berdurasi 41 saat menunjukkan dia melakukan ujian saringan COVID-19 di rumahnya.
 
Dalam entri itu, Emma berkata, mereka tidak mengalami sebarang simptom namun keputusan ujian saringan adalah positif.
 
"Saya tiada simptom langsung, tetapi hasil ujian menunjukkan saya positif VOCID-19. Jadi, walaupun rasa sihat, buat sahaja ujian swab, sebab kita tak tahu kalau kita ada jangkitan itu atau tidak.
 
"Tolong jaga diri dan ikutlah prosedur operasi standard (SOP). Selamat berkuarantin kepada diriku," katanya.

Banjir: 4,222 mangsa dipindahkan di Sarawak

Munirah Mudzamli
Banjir: 4,222 mangsa dipindahkan di Sarawak
Keadaan di sekitar tebingan Kuching (waterfront) yang dirakam pengguna 
media sosial pada Khamis. - Foto: media sosial
 
KUCHING: Fenomena air pasang besar yang mencecah sehingga 6.1 meter bermula jam 05.20 pagi tadi menyebabkan banyak kawasan di Daerah Kuching, Bau, Samarahan dan Serian terus dinaiki air.
 
Menurut laporan terkini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah 48 pusat pemindahan sementara (PPS) sedang beroperasi di seluruh negeri, melibatkan 1,127 keluarga dan 4,222 mangsa.
 
Daripada jumlah berkenaan, 30 PPS adalah di Bahagian Kuching, yang menempatkan 722 keluarga dan 2,865 mangsa.
 
Bahagian Samarahan pula menempatkan 105 keluarga dan 314 mangsa di empat pusat pemindahan. manakala Bahagian Serian merekodkan 1,014 mangsa daripada 296 keluarga di sembilan pusat pemindahan.
 
Di Miri kekal dengan dua pusat pemindahan untuk menempatkan empat keluarga dan 29 mangsa.
 
Sementara itu, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, setakat ini pihaknya telah mengendalikan urusan pemindahan dan menyelamat 1,049 mangsa di seluruh negeri, termasuk lapan orang kelainan upaya (OKU) dan 29 bayi dan 255 kanak-kanak.
 
Gerak kerja pemindahan ini katanya, dilaksanakan sembilan balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri, dengan yang paling aktif ialah Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Petra Jaya dan Batu Lintang.
“Pada masa yang sama, terdapat lima kes tanah runtuh dilaporkan,
 
"Melibatkan lokasi Rumah Panjang Panggil Atas (Sri Aman); Lorong Gersik 3 (Kuching); Paya Mebi (Padawan); Grogo (Bau) dan Rumah Cuat Sungai Ribong (Sarikei)," tambahnya.
 
Fenomena air pasang besar hari juga akan dijangka berlaku di Kuching pada jam 7.01 malam nanti, dan di Miri jam 11.52 malam.

PKP 2.0: Orang bujang merungut, dobi layan diri akhirnya dibenar beroperasi - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
PKP 2.0: Orang bujang merungut, dobi layan diri akhirnya dibenar beroperasi - Ismail Sabri
Waktu operasi kedai dobi layan diri bermula dari 6 pagi sehingga 8 
malam. - Gambar hiasan
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kedai dobi layan diri beroperasi di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menempatkan pekerja untuk mengawal selia premis berkenaan.
 
Katanya, waktu operasi kedai dobi layan diri bermula dari 6 pagi sehingga 8 malam.
 
"Kita amat memahami tentang keperluan. Ramai yang mengadu terutamanya golongan bujang yang mengatakan mereka sangat memerlukan dobi layan diri kerana tiada siapa yang membasuh pakaian.
 
"Jadi, mereka pergi kedai dobi layan diri, sekarang pun musim hujan dan kedai dobi layan diri boleh mengeringkan pakaian, jadi sangat diperlukan.
 
"Alasan kita (untuk tidak benarkan kedai dobi layan diri beroperasi sebelum ini) adalah kerana tiada pengawalan. Jadi kita takut pelanggaran SOP dan akhirnya berlaku penyebaran virus COVID-19.
 
"Setelah meneliti permohonan dan rungutan, akhirnya hari ini kita bersetuju dobi layan diri beroperasi," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
 
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa memantau operasi kedai tersebut.
 
Tegasnya, jika terdapat mana-mana pemilik premis yang ingkar arahan yang ditetapkan, operasi kedai tersebut akan dihentikan.

COVID-19: Malaysia catat 3,337 kes baharu, 15 kematian

Fareez Azman
COVID-19: Malaysia catat 3,337 kes baharu, 15 kematian
Malaysia merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan sebanyak 
3,337 kes pada Khamis. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan sebanyak 3,337 kes pada Khamis, dengan 3,330 merupakan kes tempatan manakala selebihnya kes import.
 
Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 147,855 dengan kes aktif sebanyak 32,377.
 
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 1,036 kes, diikuti Johor (460 kes), Sabah (389 kes), dan Kuala Lumpur (257 kes).
 
Manakala Pulau Pinang mencatatkan 234 kes, Sarawak 180 kes, Negeri Sembilan 169 kes, Pahang 113 kes dan lain-lain negeri merekodkan di kes bawah 100.
 
Selain itu, KKM turut mencatatkan sebanyak 15 kes kematian baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 578 kes.
 
Seramai 195 pesakit kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), sementara 86 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
 
Kes pulih yang dicatat pada hari ini pula ialah sebanyak 1,710 kes, dengan jumlah keseluruhan ialah 113,288 kes atau 76.6 peratus.

Khamis, 14 Januari 2021

Selamat tinggal Wawasan 2020 mu, Tun

Cikgu Kamarul

(Surat Terbuka Cikgu Kamarul untuk Tun M)

Tun,

Ketika 2020 melabuhkan tirainya, WAWASAN 2020 telah lama rebah dalam khayalan seribu persoalan. Kemanakah perginya impian wawasan yang Tun rencanakan dahulu? Ia tidak ubah seperti mimpi ngeri yang tiada cerita indah sebagai penyudah. Rupa-rupanya kami dibuai dengan impian yang penuh dengan omongan kosong yang langsung tidak membawa sebarang makna. Siapakah pula yang akan dipersalahkan dengan kegagalan Tun kali ini? Najib sekali lagi? Atau mungkinkah Muhyiddin yang akan dikambinghitamkan?

Wawasan 2020 sepatutnya membawa negara ke tahap yang lebih tinggi dan disegani sementara bangsa Melayu pula menjadi bangsa yang disegani dan dihormati. Namun kini dunia mentertawakan kita dan Melayu seperti sudah hilang maruahnya. Semua ini gara-gara tindakan Tun sendiri.

Tun menghabiskan seluruh hidup berpolitik Tun dengan membunuh para pemimpin Melayu yang hebat agar Tun dan anak-anak tidak dibayangi oleh kehebatan mereka. Tun membunuh kepercayaan rakyat terhadap Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib dengan propaganda yang bukan sahaja memusnahkan mereka tetapi juga bangsa Melayu. Anehnya Tun masih mahu bercakap ini dan itu tentang Melayu.

Tun juga tidak pernah mahu menghargai jasa pihak dan orang tertentu yang telah menentukan Tun mencapai apa yang dihajatkan. Tun menjadi punca kejatuhan UMNO yang begitu banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan Tun sendiri. Semua ini Tun lakukan setelah Tun dan anak cucu Tun mendapat limpahan kesenangan daripada parti Melayu ini.

Tun,

Bangsa Melayu tidak akan lupa Peristiwa Hitam Ramadhan dimana rumah Allahyarhamah Tun Rahah digeledah dan dipecahkan. Apakah kesalahan isteri bekas Perdana Menteri yang kami kasihi itu terhadap Tun? Tindak tanduk Tun terhadap Tun Rahah dan Datuk Seri Mohd Najib mengingatkan kami tentang kekejaman Zionis yang gemar melancarkan serangan keatas penduduk Islam Palestin di bulan Ramadhan. Mungkin Tun mabuk dengan kuasa buat kali kedua ketika itu. Namun semua kuasa di atas dunia adalah sementara belaka.

Tunlah yang menjadi punca kepada segala kemusnahan yang melanda negara dan bangsa. Sayang sekali, kasih sayang Tun terhadap anak-anak sendiri menggunung tinggi tanpa batasan.

Tun sebenarnya tidak layak menjadi pemimpin kepada bangsa Melayu kerana kepimpinan Tun telah melumpuhkan kemajuan bangsa Melayu. Setiap apa yang Tun lakukan diiringi dengan propaganda mengangkat nama Tun. Ketika orang Melayu diajak berbangga, anak-anak Tun pula mendapat habuan untuk menambah kekayaan dan harta.

Ketika Tun untuk sekian kalinya mencari jalan pintas untuk menambahkan kekayaan anak-anak, Melayu hidup dengan penuh kesengsaraan di tanahair sendiri. Namun Tun tidak pernah mahu tahu itu semua. Lidah Tun lebih mudah melabelkan Melayu sebagai bangsa yang malas. 

Pernahkah anak cucu Tun merasai kesempitan pada kunjungan setiap tahun baru kerana perlu berbelanja untuk menghantar anak ke sekolah? Pernahkah anak cucu Tun merasai begitu tidak berdaya untuk menghantar anak-anak ke pusat-pusat pengajian tinggi? 

Pernahkah anak cucu Tun hanya mampu makan sekali dalam sehari ketika menjalani hari hari sebagai pelajar di sebuah politeknik atau universiti? Pernahkah anak cucu Tun turun ke sawah dalam keadaan dingin dalam hujan yang lebat di awal pagi?

Pernahkah anak-anak cucu Tun ternanti-nanti akan hari gaji kerana gaji di bulan ini telah habis digunakan untuk pendidikan anak-anak?

Sedang anak kami bertungkus lumus memenuhi setiap ruang waktu dan peluang yang ada untuk menambah pendapatan bagi membolehkan mereka mengharungi kehidupan sebagai pelajar, anak cucu Tun berbelanja mewah dalam percutian di luar negara sambil mengambil peluang menyindir pemimpin dan Raja-Raja Melayu dengan tulisan-tulisan yang penuh keangkuhan.

Tun,

Masihkan seronok bercakap gah tentang Islam di pentas antarabangsa lalu dianggap sebagai pemimpin Islam sedangkan Islam di tanahair sendiri tidak dijaga dengan sempurna? Ada saja pemimpin Islam yang Tun perlekehkan dan undang-undang Islam yang diperkecilkan. Haji mereka yang dihantar Najib ke tanah suci pun Tun pertikaikan.

Dan pada malam ini apabila kami memikirkan bagaimana hendak menjalani hari-hari yang mendatang, anak cucu Tun mungkin sedang merancang percutian tahun baru mereka dan Tun pula sedang berkira-kira pemimpin Melayu mana pula yang hendak dijatuhkan.

Wawasan 2020? Apa itu Tun?

Selamat Malam Tun. SUARA MERDEKA