Selasa, 27 Oktober 2020

KKM tak manipulasi data Covid-19, kata Hisham

Data Covid-19 dikumpul KKM sehingga 12 tengah hari setiap hari menggunakan sistem 
maklumat kesihatan awam di setiap negeri.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menafikan Kementerian Kesihatan memanipulasikan data Covid-19 yang dilaporkan pihaknya.

Beliau berkata, data Covid-19 dikumpul KKM sehingga 12 tengah hari setiap hari menggunakan sistem maklumat kesihatan awam di setiap negeri.

”Ia bukan dilakukan saya seorang, tetapi bersama pasukan di sebalik tabir dari hari pertama (kes Covid-19).

“Janganlah bila sifar (kes Covid-19) dicatatkan, data itu diterima, tetapi bila 1,000 kes dicatatkan, ada pihak yang tidak terima data tersebut,” katanya menjawab soalan pada sidang media semalam.

Beliau berkata, perbincangan turut dilakukan dalam menentukan sesuatu kluster.

Semalam, Malaysia mencatatkan 1,240 kes baru Covid-19, rekod tertinggi sejak pandemik itu bermula di negara ini. Ia kali ke-2 Malaysia mencatatkan kes baru sebanyak 4 angka, selepas rekod 1,228 kes baru pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Hisham berkata, sidang media Ahad lalu dibatalkan pada saat akhir kerana beliau diminta membentangkan situasi terkini Covid-19 dalam perbincangan khas raja-raja Melayu di Istana Negara.

“Saya berkongsi perjalanan KKM (dalam menangani Covid-19) dari Disember hingga kini, perkembangan terkini Covid-19 dan tugas di lapangan.”

Kelmarin, sidang media Hisham yang dijadualkan pada 5.30 petang dibatalkan kira-kira 3.45 petang.

Katanya, dalam pembentangan pada petang Ahad itu, beliau turut memaklumkan jangkaan KKM boleh mengawal situasi Covid-19 dalam 3 hingga 4 minggu.

Beliau berkata, dalam sesi pembentangan itu, KKM turut ditanya mengenai vaksin dan beliau memaklumkan terdapat 9 kajian vaksin ketika ini, tetapi KKM belum mendapatkan laporan lengkap mengenainya.

Tiada ulasan: