Ahad, 15 Mac 2020

Syor Polisi Pakaian Patuh Syariah Satu Cadangan Baik, Kemajmukan Malaysia Tidak Diketepikan – Rosni

UMNO Online

 


KUALA LUMPUR – Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata pihaknya menyokong saranan Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK), Datuk Siti Zailah Mohd Yusof mengenai pelaksanaan polisi pemakaian patuh syariah bagi pramugari yang beragama Islam dan diharapkan syarikat penerbangan dapat memberikan kebebasan kepada mereka dalam hal tersebut.

Menurut beliau saranan berkenaan dilihat sebagai menjaga kedudukan dan mengelakkan eksploitasi ke atas pekerja wanita Muslim yang mungkin terikat dengan syarat-syarat syarikat yang memerlukan mereka untuk berpakaian tidak memenuhi keperluan syariah.

“Walaubagaimanapun, memahami kemajmukan masyarakat di Malaysia, syor ini tidak terpakai ke atas pekerja wanita yang bukan Islam.

“Syor pemakaian patuh syariah bagi pramugari beragama Islam ini pastinya akan meninggikan lagi penghormatan dunia luar ke atas negara kita di mana mereka sebenarnya menjadi imej pertama yang dilihat mewakili negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa yang sama Rosni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam turut menyokong syor yang ingin dipanjangkan berhubung pemakaian patuh syariah bagi atlet wanita Islam dan cadangan ini disokong dengan kesesuaian mengikut jenis sukan tanpa menjejaskan prestasi mereka sebagai atlet.

“Diharap  Timbalan Menteri KWK dapat terus memperjuangkan hak dan nasib wanita serta kanak-kanak di Malaysia ini,” ujarnya. -UMNO Online

Tiada ulasan: