Selasa, 3 Mac 2020

Dr Mahathir tuduh Muhyiddin bekerjasama dengan pembunuh

TUN Dr. Mahathir Mohamad terus menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat dan berkata Perdana Menteri itu juga sanggup bekerjasama dengan pembunuh.

Hanya  Dr. Mahathir sahaja yang tahu siapa pembunuh yang dimaksudkan dalam ucapannya dalam satu rakaman video berdurasi 1.30 minit yang disiarkan ditwitter.

“Beliau (Muhyiddin) sebenarnya menyatakan kesetiaan kepada diri sendiri. Beliau sanggup bekerjasama dengan pencuri, penyangak, penyamun malah pembunuh.

“Inilah karakter sebenar beliau (Muhyiddin),” kata Dr. Mahathir dalam video berkenaan seperti yang dipetik dari Malaysia Gazette.
Dr. Mahathir Mohamad
Dalam video itu, Dr. Mahathir mengakui tersilap langkah meletakkan jawatan sebagai Perdana  Menteri.

Katanya, beliau tiada pilihan dan terpaksa jawatan kerana sudah hilang sokongan.

“Saya ingat selepas saya meletakkan jawatan, saya boleh bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan kita semua boleh menyakinkan Baginda dan memaklumkan kepadanya, saya masih mempunyai sokongan.

“Saya sekali lagi meminta maaf,” katanya.

Video tersebut dipercayai dirakam dalam satu pertemuan antara Dr. Mahathir bersama ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary semalam.

Turut kelihatan di dalam video yang dkongsi di laman Twitter tersebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr. Mahathir berkata, Muhyiddin berjaya menjadi Perdana Menteri kerana pengkhianatan yang dilakukan ke atas Pakatan Harapan.

Beliau meminta maaf kerana tidak menyedari lebih awal pengkhianatan Muhyiddin.

Katanya, beliau telah mengesyaki sesuatu tetapi tidak boleh bertindak kerana tidak mempunyai bukti yang cukup ketika itu.

“Saya minta maaf. Beliau adalah timbalan saya, orang kanan saya.

“Saya selalu curiga tetapi anda tidak boleh bertindak berdasarkan kecurigaan sahaja. Jika ada bukti kukuh, anda boleh bertindak,” ujarnya. – SM

Tiada ulasan: