KOTA SAMARAHAN: Tindakan pantas pekerja sebuah stesen minyak di Jalan
Kuching-Kota Samarahan berjaya menyelamatkan premis itu daripada
terbakar selepas dilempar bom petrol, tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 12.07 tengah malam itu, dua lelaki bermotosikal datang ke stesen minyak berkenaan.
Sebaik menghampiri mesin pam, pembonceng tiba-tiba menyalakan sumbu bom
petrol yang diletakkan dalam sebuah botol lalu melemparkannya sebelum
memecut lari.
Melihat api menyala dekat dengan pam itu, dua pekerja segera menyembur
debu kering dan berjaya memadam api sebelum menyambar mesin pam
berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata sebaik menerima panggilan pada jam
12.07 tengah malam, 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota
Samarahan dikejarkan ke lokasi.
"Berikutan kebakaran sudah berjaya dipadam, pihak bomba hanya membuat
pemantauan dan mengambil maklumat untuk memastikan tiada lagi punca api
yang boleh mencetuskan kebakaran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan