Sabtu, 13 Januari 2018

MTUC: Henti ambil buruh asing murah untuk industri minyak sawit

 
Kongres cemas dengan laporan yang meaporkan kementerian mengambil pekerja Kemboja untuk industri minyak sawit di Sarawak.


Richard-Riot-Jaem-foreign-workers-palm-oil-malaysia

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) cemas dengan laporan yang melaporkan Kementerian Sumber Manusia mengambil pekerja Kemboja untuk industri minyak kelapa sawit di Sarawak.

Menteri Datuk Seri Richard Riot Jaem dilaporkan berkata rakyat Indonesia tidak lagi mahu bekerja di Sarawak kerana ladang-ladang di Indonesia membayar gaji yang setanding dengan gaji yang ditawarkan ladang-ladang di Malaysia.

“Ini sangat memalukan kerana kita pernah mendahului Indonesia dari segi pembangunan ekonomi sehinggakan ramai rakyat Indonesia datang ke negara ini untuk bekerja di sini kerana gaji yang lebih tinggi,” kata Setiausaha MTUC Sarawak Andrew Lo.

Beliau berkata perkembangan itu membuktikan kerisauan MTUC selama ini iaitu negara mengguna pakai dasar ekonomi dan buruh yang salah dan tidak mampan.

Lo dalam kenyataan berkata kesatuan buruh tempatan disekat dan majikan memgeksplotasi pekerja sehinggakan gaji turun ke bawah paras produktiviti.

Beliau berkata rakyat Sarawak terdorong mencari pekerjaan di Malaysia Barat dan luar negara, dan mungkin tidak lama lagi akan bekerja di ladang-ladang di Indonesia.

“Kita masih memanjakan pemain industri kita dan kini membantu mereka mendapatkan buruh murah dari negara lain.”

Lo berkata kerajaan harus mengambil langkah holitik dan menstrukturkan semula ekonomi dan industri.

“Kementerian harus mencari jalan untuk berpindah dari minyak sawit ke ekonomi digital memandangkan jumlah penduduk kita yang kecil dan bukannnya mengambil jalan keluar mudah dan hanya mengeksploitasi tanah kita,” katanya.

Beliau berkata tidak ada gunanya membuka tanah begitu banyak untuk kelapa sawit dan mewujudkan isu NCR, hanya untuk mewujudkan pekerjaan yang membayar gaji rendah untuk pekerja asing.

“Pendirian Persatuan Pemilik-pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak mengalu-alukan bantuan kementerian itu sudah dijangka, tetapi tidak berpandangan jatuh dan tidak mampan.”

Beliau berkta pemain industri hanya bimbangkan kewangan masing-masing daripada membangunkan industri yang mampan.

Beliau menambah pemain industri harus memperuntukkan dana untuk penyelidikan dan pembangunan dan juga menubuhkan institusi pengajian untuk melatih pekerja tempatan.

“Bagaimanapun, apa yang mereka lakukan adalah mendesak kerajaan negeri membawa masuk warga asing untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Menurut Lo, Indonesia kini setanding atau mengatasi Malaysia, dan jika Malaysia enggan menstrukturkan semula ekonomi negara, Malaysia akan ketinggalan.

Tiada ulasan: