Rabu, 24 Januari 2018

Jangan biar Felda jadi bahan jenaka, kata Anak


Jangan biar Felda jadi bahan jenaka, kata Anak
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berkata Felda perlu menjelaskan lebih lanjut berhubung isu tanah di Jalan Semarak kerana orang ramai masih keliru dengan perkara itu.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
FELDA didesak agar menjelaskan secara telus penyelesaian yang dibuat dalam isu tanahnya di Jalan Semarak bagi menutup segala andaian dan tuduhan ke atas agensi itu.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, agensi tersebut perlu menjelaskan lebih lanjut kerana menurutnya orang ramai masih keliru dengan perkara itu.

Katanya, penjelasan Felda bahawa ia sudah memperolehi semua tanah tersebut menjadi bahan jenaka kerana agensi berkenaan membenarkan syarikat yang didakwa menipu untuk meneruskan projek.

"Syarikat itu telah didakwa oleh Felda melakukan penipuan. Sekarang syarikat itu juga dibenarkan meneruskan projek KLVC yang ditolak oleh Pengerusi Felda, Shahrir Samad sebelum ini.

"Sebab itu apabila dikatakan isu ini selesai dengan Felda telah dapat kembali tanah itu, ia telah menimbulkan kekeliruan bahkan bahan ketawa orang ramai
"Kami telah membuat laporan kepada SPRM. Felda sendiri telah membuat laporan polis dengan dakwaan penipuan telah berlaku," katanya.

Pengerusi Felda Shahrir Samad pada hari Ahad lalu menyebut, Felda tidak lagi berminat untuk meneruskan projek KLVC yang melibatkan pembinaan beberapa menara di lokasi itu.

Menurut laporan Berita Harian, Shahrir berkata keputusan itu dimuktamadkan pada 15 Jun lalu.

Katanya, Felda tidak lagi berminat kerana cadangan pembangunan itu adalah berdasarkan rundingan antara pemaju dengan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Selain itu Felda juga memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju bagi mendapatkan kembali tanah miliknya, kata Shahrir.

Laporan itu menyebut, Shahrir berkata projek itu juga tidak diperlukan, dengan membangkitkan bahawa sudah berlaku lambakan pembangunan hartanah pada masa ini, dengan kemunculan projek berskala besar seperti Bukit Bintang City Centre (BBCC), Tun Razak Exchange (TRX), Menara KL118 milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Bandar Malaysia.
Orang ramai terutamanya warga peneroka Felda perlu diberikan penerangan lebih jelas berhubung isu tanah di Jalan Semarak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2018.
Orang ramai terutamanya warga peneroka Felda perlu diberikan 
penerangan lebih jelas berhubung isu tanah di Jalan Semarak.
– Gambar fail The Malaysian Insight
Mengulas lanjut, Mazlan mempertikaikan bagaimana Felda dapat meneruskan projek ini dengan Synergy Promenade Sdn Bhd memandangkan pemaju tersebut sedang disiasat polis berhubung dakwaan menipu.

Sehingga kini, katanya, Anak belum mendapat maklum balas dari laporan SPRM yang dibuatnya dan orang ramai belum mendapat sebarang penjelasan dari polis terhadap isu ini.

"Isu ini kini penuh misteri dan tanda tanya. Semacam ada yang cuba disembunyi. Puncanya tak telus dan bagi saya belum selesai,” katanya.

Katanya, beliau juga percaya dakwaan ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bahawa Felda akan kehilangan tanah tersebut buat selama-lamanya adalah berasas.

"Saya yakin Rafizi ada asas yang kukuh dalam dakwaannya. Kami pun mempunyai tanda tanya tentang terma penyelesaian antara syarikat Synergy Promenade dengan Felda yang tidak didedahkan," kata Mazlan lagi.

Dalam kenyataannya semalam, Rafizi mendakwa, Felda kehilangan tanahnya itu buat selama-lamanya apabila bangunan di Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dijual kepada orang ramai dan syarikat persendirian kelak.

Jelasnya, Felda kehilangan hak milik tanah tersebut apabila menjadi tapak pembangunan projek KLVC dan bakal dimiliki secara strata oleh pembeli bangunan dan lot-lot kedainya nanti, katanya.

Pada 15 Januari lalu, Shahrir mengumumkan bahawa Felda berjaya mendapatkan semula hak milik tanah yang menjadi tapak projek KLVC.

Katanya tanah itu berjaya diperolehi semula melalui perjanjian dengan Synergy Promenade.

Tiada ulasan: