Khamis, 18 Mei 2017

PAS tak layan 'arahan' PKR di Kelantan, terus kekalkan exco di Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS menegaskan kedudukan tiga wakilnya dalam kerajaan negeri Selangor kekal meskipun PKR telah mengarahkan semua wakilnya di Kelantan untuk meletakkan jawatan.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia merujuk Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang mana lantikan setiap ahli majlis mesyuarat negeri adalah kerana mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.
 
"Berdasarkan Perkara 53 Fasal 7 di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dengan jelas menyatakan seseorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenankan oleh Sultan. Jadi itu yang dipegang oleh PAS. 
 
"Mana-mana exco boleh letak jawatan tetapi soal letak jawatan tidak timbul. Exco akan terus memegang jawatan exco selagi mendapat perkenan Sultan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat petang tadi.
 
Kedudukan tiga exco PAS di Selangor sebelum ini menjadi tanda tanya, selepas Biro Politik PKR pada Selasa lalu mengarahkan kesemua lantikan wakil partinya dalam kerajaan Kelantan pimpinan PAS meletakkan jawatan.
 
Keputusan PKR itu dibuat selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu. 
 
Bagaimanapun PKR dalam mesyuarat itu menetapkan kedudukan tiga exco dan wakil PAS dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR akan diputuskan sekembalinya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada lawatan rasmi di luar negara.
 
Sebelum ini beberapa pimpinan PKR, termasuk Datuk Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli menggesa tiga exco PAS berundur daripada jawatan masing-masing selepas dua parti berkenaan tidak lagi mempunyai kerjasama rasmi.
 
Mengulas lanjut mengenai keputusan PKR yang mahu semua wakilnya dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan, jelas Takiyuddin, kerajaan negeri itu mahu mengekalkan wakil parti tersebut dalam pentadbiran negeri.   
 
"Ada jawatan yang dilantik kerajaan negeri (Kelantan) oleh pihak berkuasa negeri, contohnya ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penghulu. Kita teruskan lantikan ke atas pimpinan PKR, walaupun undang-undang membolehkan mana-mana yang dilantik bebas meletakkan jawatan," kata Takiyuddin lagi.
 
 

Tiada ulasan: