Khamis, 25 Mei 2017

Malaysia bayar bekas pembantu Trump RM1.1 juta untuk lobi hubungan dengan AS


ISMA WEB
 



BANGI – Kerajaan Datuk Seri Najib Razak didakwa membayar RM1.125 juta kepada bekas pembantu Presiden Donald Trump untuk melobi usaha memperkukuhkan hubungan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, AS menetapkan bahawa sesiapa yang mahu melobi penjawat awam di negara itu bagi pihak negara asing, perlu mengisytiharkan kerja-kerja melobi termasuk bagi pihak siapa kerja-kerja melobi itu dibuat; untuk tujuan apa kerja-kerja melobi itu dibuat; dan berapa bayaran yang dibuat.

Beliau yang membuat semakan mengenai laporan sebuah portal berita AS – Daily Beast – yang mensabitkan pentadbiran Najib dengan bayaran itu, berkata, perisytiharan berkennaan dibuat melalui borang rasmi yang mesti difailkan dengan Jabatan Keadilan AS (DoJ) mengikut Akta Pendaftaran Ejen Asing.

Semakan beliau mendapati perisytiharan itu difailkan Healy Baumgardner-Nardone bagi kerja melobi yang dibayar oleh Kerajaan Malaysia dan difailkan pada 19 Mei lalu dengan menyatakan firma berkenaan mewakili Kerajaan Malaysia melalui The Godfrey Group Limited, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Alamat perhubungan dengan Kerajaan Malaysia disenaraikan di Godfrey Group Limited, 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek, Johor Bahru dan Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

“Aktiviti melobi yang dibuat merujuk kepada usaha memperkukuhkan hubungan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat dan pada 9 Mei 2017, Godfrey Group Limited membayar wang berjumlah USD250,000 (bersamaan RM1.125 juta) kepada firma lobi milik Healy Baumgardner-Nardone,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau membuat carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengenal pasti siapa di belakang firma The Godfrey Group Limited yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.

“Malangnya, tidak ada sebuah syarikat pun yang disenaraikan sebagai The Godfrey Group Limited di dalam rekod SSM. Rekod yang paling hampir dengan nama Godfrey adalah sebuah perniagaan milik peribadi bernama Godfrey Enterprise yang mempunyai alamat yang hampir sama dengan alamat yang disenaraikan di dalam borang pengisytiharan yang difailkan di Amerika Syarikat.

“Alamat Godfrey Enterprise ialah 32, Jalan Molek 1/6, Taman Molek iaitu berhampiran dengan alamat di dalam borang iaitu 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek.

“Mengikut rekod, Godfrey Enterprise dimiliki oleh seorang yang bernama Lim Boon Hoo yang berusia 70 tahun. Tidak ada bukti setakat ini yang menunjukkan Lim Boon Hoo adalah seorang ahli politik atau ada hubungan dengan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Katanya, carian di Google Earth dan Google Map juga menunjukkan alamat 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek seperti yang difailkan di dalam perisytiharan bagi pihak Kerajaan Malaysia itu adalah alamat biasa yang tidak ada sebarang kaitan dengan jabatan kerajaan.

“Adalah jelas bahawa Kerajaan Malaysia telah melantik satu firma lobi yang dimiliki oleh bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump, melalui sebuah syarikat yang nampaknya tidak wujud (berdasarkan bukti setakat ini). Persoalan paling utama ialah apakah keperluan Kerajaan Malaysia melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat? Kes yang mana yang perlu menggunakan seorang pelobi berbayar?

“Saya mendesak Dato’ Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat sama ada kerja-kerja lobi yang membabitkan pembayaran berjuta ringgit itu turut melibatkan kes-kes yang beliau mempunyai kepentingan peribadi; iaitu dakwaan penyelewengan melibatkan dana 1MDB terhadap anak tiri beliau dan Jho Low.

“Saya juga mahu Dato’ Seri Najib menjawab siapakah sebenarnya di belakang Godfrey Group Limited yang menjalankan kerja-kerja bagi pihak Kerajaan Malaysia dan siapa yang membayar RM1.125 juta kepada firma pelobi Amerika Syarikat itu?,” katanya.


Tiada ulasan: