Rabu, 17 Mei 2017

IPT diarah tangguh aktiviti luar serta merta

ISMA WEB



KUALA LUMPUR – Semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara diarah menangguhkan aktiviti luar berkuat kuasa serta merta.

Arahan itu dibuat susulan tragedi yang mengorbankan dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam akibat dihempap pokok serta mencederakan enam yang lain semasa mengikuti aktiviti luar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, kementerian memandang serius kejadian berkenaan dan akan melakukan siasatan dalaman selain menilai garis panduan (SOP) pelaksanaan aktiviti seumpama itu.

“Siasatan akan dijalankan dan saya tidak akan memberi sebarang komen tentang SOP sehingga kita memperoleh hasil siasatan.

“Saya tidak boleh komen berapa lama siasatan akan diambil. Beri kami masa. Saya cukup kecewa apabila menerima berita itu,” katanya selepas melawat Muhammad Haziq Radzuan, seorang daripada mangsa yang mengalami kecederaan, Selasa.

Pada masa sama, Yap berkata, kementerian turut mengarahkan UiTM mengambil tindakan segera untuk menjaga kebajikan mahasiswa yang terlibat dengan memberi khidmat kaunseling dan bantuan yang diperlukan.

“UiTM juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkaitan dengan insiden ini,” katanya.

Dalam insiden beberapa hari lalu,, semua mangsa menjalani latihan ikhtiar hidup di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Mereka adalah antara 140 penuntut dan empat pensyarah yang mengikut program ‘Ukhwah dan Pemantapan Jati Diri Pelajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan’ dari 12 hingga 14 Mei.


Tiada ulasan: