Selasa, 16 Mei 2017

Hubungan erat PKR-DAP antara sebab PAS putuskan tahaluf siyasi

ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Antara sebab PAS memutuskan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah kerana hubungan erat PKR dan DAP dalam pakatan harapan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Abdul Hadi berkata, DAP sejak memenangi banyak kerusi secara terbuka menunjukkan sikap bermusuh terhadap konsep Negara Islam.

Lebih ketara lagi apabila parti rasis dan cauvinis itu membantah syarat PAS supaya pembangkang mewajibkan Perdana Menteri seorang yang beragama Islam, kata Hadi.

“DAP menentang segala usaha PAS untuk melaksanakan syariat Islam walaupun kepada penganut Islam sahaja dan membelakangkan Institusi Raja kerana mengikut selera politik mereka.

“Keputusan Majlis Syura Ulama PAS juga memutuskan Tahaluf Siyasi bersama PKR terbatal apabila syarat-syarat Tahaluf dicabuli sama ada salah laku terhadap hukum syariat dalam pendekatan politik atau melanggar adab bertahaluf kerana mengikut kawan politik yang salah disebabkan konsep oportunis mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Hadi berkata, Islam menegaskan politik adalah sebahagian daripada syariat yang tidak boleh dipisahkan daripada agama.

“Islam adalah agama negara dan Institusi Raja Berperlembagaan wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya.


Tiada ulasan: