Khamis, 12 Mac 2015

Selangor sedia bincang jika kerajaan pusat iktiraf kedaulatan tanah, aset air negeri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor sedia membuka pintu perbincangan berhubung isu air dengan kerajaan persekutuan demi manfaat pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
 
Namun kata beliau, perkara berkenaan akan tercapai sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik negeri, serta tidak membuat tuntutan yang bercanggah dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai.
 
Azmin juga sekali lagi menegaskan Perjanjian Induk bagi penstrukturan semula air negeri Selangor lupus akibat tindakan kerajaan persekutuan yang gagal menghormati semangat perjanjian yang telah ditandatangani pada September tahun lalu itu.
 
Katanya, kerajaan pusat gagal untuk mematuhi perkara berikut:
 
"Mengiktiraf pemilikan aset air Negeri Selangor berjumlah RM14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
 
"Mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada Air Selangor bagi mengambilalih ke semua konsesi air di Negeri Selangor.
 
"Mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke semua baki aset air yang dimiliki oleh Air Selangor.
 
"Meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB," katanya dalam satu kenyataan semalam. 
 
Disebabkan itu kata Azmin, pentadbirannya tidak boleh membenarkan perlaksanaan perjanjian yang bercanggah dari prinsip dan semangat yang telah dipersetujui.
 
Menurutnya lagi, percanggahan dari Perjanjian Induk yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan akan menyaksikan kerajaan negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air milik Kerajaan Negeri Selangor.
 
Namun katanya, kerajaan negeri akan terus memantau memastikan bekalan air di negeri ini akan dapat dibekalkan kepada semua pengguna secara berterusan.
 
 

Tiada ulasan: