Khamis, 12 Mac 2015

Persempadanan baru DUN Sarawak tak adil, DAP desak Pengerusi SPR letak jawatan

Oscar (3)

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletakkan jawatan berikutan persempadanan baru yang tidak adil dan saksama.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata, 11 persempadanan baru yang dibuat ke atas Sarawak pada Januari lalu jelas sama sekali tidak saksama, malah memihak pemerintah semasa.

“Persempadanan baru yang dibuat di Sarawak ternyata melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Saya memohon Aziz meletakkan jawatan dan memansuhkan persempadanan baru,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Menurut Oscar, kajian Electoral Integrity Project (EIP) menunjukkan bagaimana SPR gagal menambaik sistem pilihanraya apabila berada pada kedudukan ke 66 dari 73 negara.

“Kedudukan Malaysia hanya lebih baik sedikit saja dari Zimbabwe. Ini amat memalukan,” ujarnya.
Januari lalu, SPR mengumumkan bahawa sebelas bahagian baru diwujudkan dalam persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihanraya Negeri Sarawak dan dijangka diwartakan sebelum Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Aziz kemudiannya mengumumkan laporan akhir syor persempadanan itu turut akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini jika pihak SPR tidak menerima sebarang bantahan.

Persempadanan baru itu akan membolehkan kerusi DUN Sarawak bertambah dari 71 kerusi sebelum ini kepada 82 kerusi. -Roketkini.com


Tiada ulasan: