Jumaat, 20 Mac 2015

PAS tidak perlu pinda Perlembagaan bagi laksana hudud kata peguam

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Beberapa peguam mengesahkan hari ini PAS tidak perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menguatkuasakan undang-undang Islam di Kelantan.

Peguam Syahredzan Johan berkata, kerajaan PAS Kelantan kini dihadkan oleh undang-undang 1965 yang melarang mahkamah Syariah daripada melaksanakan hukuman di bawah hudud – seperti memotong tangan bagi mencuri atau hukuman mati bagi murtad.

Di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman sebat dan penjara tiga tahun, denda maksimum RM5,000 atau enam kali sebatan.

“Jadi PAS hanya perlu meminda akta berkenaan bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hukuman hudud berkenaan. Dan itu boleh dilakukan dengan majoriti mudah serta tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan,” Syahredzan memberitahu Malay Mail Online hari ini.

Di Parlimen, hanya majoriti mudah atau 112 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat diperluykan bagi meluluskan undang-undang Persekutuan atau pindaan; manakala majoriti dua pertiga atau 148 daripada 222 Ahli Parlimen diperlukan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi Syahredzan mengingatkan lain-lain negeri juga boleh dengan mudah mengikut langkah Kelantan untuk menguatkuasa hudud jika PAS berjaya meminda undang-undang 1965 itu.

“Tetapi apabila undang-undang itu dipinda, dan semua Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman seperti memotong tangan dan mati, apa yang melarang Dewan Undangan Negeri lain menguatkuasa undang-undang sama?

“Mereka hanya meminda undang-undang persekutuan,” tambah peguam hak asasi itu, merujuk kepada undang-undang persekutuan 1965 yang dikuatkuasakan ke atas mahkamah Syariah seluruh negeri.

Pengkritik rancangan PAS melaksana hudud di Kelantan sebelum ini merujuk kepada Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan undang-undang jenayah jatuh di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan bukan kerajaan negeri.

Tetapi Firdaus Husni yang mempengerusi jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam berkata, PAS tidak perlu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan hudud.

Firdaus berkata, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan Parlimen untuk memanjangkan kuasa menggubal undang-undang mereka kepada kerajaan negeri.

“Di bawah Perkara 76A(1), Kerajaan Persekutuan boleh memanjangkan kuasanya bagi perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan, ia boleh memanjangkanya ke sebarang negeri,” katanya kepada Malay Mail Online.

Peguam itu juga merujuk kepada Perkara 80 (4) Perlembagaan, di mana Parlimen boleh memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri dalam pentadbiran bahagian tertentu undang-undang Persekutuan.

Bagi PAS apa yang ia perlu lakukan sekarang ialah meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, kerana hukuman disenaraikan dalam undang-undang hudud Negeri Kelantan melangkaui had di dalam undang-undang 1965 itu.

Tetapi walaupun PAS berjaya mengetepikan sekatan undang-undang itu bagi melaksanakan hudud di Kelantan, Firdaus berkata, kanun keseksaan Islam itu boleh dicabar kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Ya ia boleh dikuatkuasa tetapi apabila ia dilaksanakan, ia masih boleh dicabar atas alasan perlembagaan,” katanya sambil merujuk kepada Perkara 7, 8 dan 3.
Perkara 7 melindungi rakyat Malaysia daripada perbicaraan berulang-ulang, manakala Perkara 8 menjamin keadilan di muka undang-undang dan perlindungan saksama undang-undang.

Kanun Keseksaan Malaysia meliputi kesalahan jenayah yang tertakluk ke atas semua orang dalam negara ini, manakakala enakmen hudud negeri Kelantan meliputi kesalahan jenayah bagi orang Islam sahaja.

Pengkritik berhujah orang Islam di Kelantan akan tertakluk kepada kedua-dua undang-undang hudud dan Kanun Keseksaan, dan membangkitkan wujud diskriminasi disebabkan undang-undang jenayah berlainan dengan hukuman serta peraturan berlainan dilaksana ke atas Muslim dan bukan Muslim.

Awal hari ini, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang untuk meminda undang-undang negeri mengenai hudud, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II.

PAS kini merancang untuk membentang dua rang undang-undang persendirian di Parlimen – satu untuk mendapatkan kelulusan bagi hukuman bukan konvensional yang sudah ada kesalahan termaktub di bawah Kanun Keseksaan. Satu lagi adalah untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman bukan konvensional.

Tiada ulasan: