Khamis, 19 Mac 2015

PAS khianat, DAP kecewa, PKR siasat, UMNO hanya sokong

 
Isu agama telah menjadi sumber perpecahan di antara kaum dalam negara ini. 


umno 1


PETALING JAYA: Pelaksanaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pagi tadi mengundang pelbagai reaksi dalam arena politik negara.

Ada yang melihatnya dari aspek agama, ada pula yang masih berdegil ia sebagau satu komplot politik, ada yang percaya ia tipu helah untuk menumbangkan musuh dan sebahagian lagi menterjemah pelaksaan itu sebagai satu cita-cita yang akhirnya berjaya.

Apa pun outputnya, pelaksanaan hudud akhirnya lulus dan masa untuk melihat sejauh mana ia diterima dan bagaimana implementasinya akan memberi impak kepada negara secara keseluruhan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek misalnya menyatakan tiada maknanya jika Pakatan Rakyat menyalahkan UMNO dalam soal hudud. Ini kerana undang-undang itu dibawa oleh salah satu rakan komponen dalam PR dan UMNO berpendirian untuk tidak menentang perkara yang dituntut dalam Islam.

“Ini pendirian yang selama ini kita buat. Sekiranya undang-undang ini didapati memenuhi tuntutan Islam, UMNO akan memberikan‎ sokongan,” katanya.

Beliau turut ditanya jikalau dengan sokongan UMNO terhadap pelaksanaan Hudud di Kelantan, parti komponen lain BN akan keluar daripada gabungan, beliau berkata, “Saya tidak fikir MCA dan Gerakan akan keluar BN. Lepas ini kita akan lihat dari segi rundingan jika dapat selesaikan kita akan terus berunding.”

Berbeza pandangan dengan Shabery, Ahli Parlimen BN-Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat isu agama boleh menjadi unsur perpecahan kepada parti BN dan PR.

“Perkara sensitif jangan jadikan perkara utama dalam menentukan hala tuju negara kita. Kita tolak ansur. Kita balik semula kepada hasrat Bapa Kemerdekaan kita yang nampak isu agama telah menjadi sumber perpecahan di antara kaum dalam negara ini,” katanya.

Tambahnya jika hendak mengubah perkara yang telah diilhamkan oleh Bapa Kemerdekaan, ia akan merosakkan harapan mereka untuk menjadi sebuah negara moderate.

Menjawab pertanyaan sama ada UMNO menyokong Hudud di Kelantan, Nur Jazlan berkata bahawa UMNO menyokong Hudud atas kesedaran dan pendapat peribadinya pula hudud seharusnya tidak dilaksanakan buat masa ini.

“Fokus kepada pembangunan Islam dan jangan menghukum Muslim di mana ia berlaku pada masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tanpa berselindung melahirkan kekecewaannya terhadap pelaksanaan hudud namun enggan memberikan sebarang jawapan mengenai hala tuju DAP bersama Pakatan Rakyat.

“Kita tunggu hari Isnin hadapan di mesyuarat Majlis Eksekutif,” ujarnya ringkas.


Bebeza dengan kelazimannya, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula menyatakan beliau menghormati dengan keputusan DUN Kelantan tetapi menyatakan usul yang diluluskan itu bukanlah usul hudud.

“Kita hormati hak orang Islam kerana perkara itu merupakan perkara wajib mereka, tetapi kita ada masalah ‘teknikal’ kerana yang diluluskan oleh DUN Kelantan itu bukannya hudud,” ujarnya membawa satu pengertian baharu terhadap hudud.

Walau bagaimanapun dia tidak memperjelaskan secara terperinci masalah ‘teknikal’ tersebut.

Beliau dalam pada masa yang sama turut yakin, usul yang diluluskan oleh DUN Kelantan itu tidak akan berjaya dibawa ke Dewan Rakyat.

Pedas dan marah, ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun tampil menyifatkan PAS sebagai pengkhianat kepada Pakatan Rakyat.

Dia menggesa pembangkang ‘menggantung’ semua bentuk kerjasama dengan PAS.

Katanya, tindakan berbentuk sementara waktu itu sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan PAS Kelantan membentangkan rang undang-undang hudud di Kelantan semalam.

“Kita perlu menggantung semua bentuk kerjasama dengan PAS pada semua peringkat bermula dari peringkat kerajaan negeri termasuklah perwakilan PAS di mana-mana agensi kerajaan negeri.

Beliau juga menyampaikan kebimbangan jika rang undang-undang berkenaan turut dibentangkan di Parlimen kerana ia akan menyebabkan polarisasi antara anggota Parlimen yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Kita tidak mahu sesebuah negara yang berlandaskan ciri-ciri perlembagaan yang sudah dikenal pasti sejak 1963 itu menjadi kucar kacir kerana terdapat polarisasi agama,” tambahnya.

Sementara itu dalam satu kenyataan media, parti komponen terbesar PR, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun menyampaikan kekesalan dan mahu menyiasat wakil PKR di DUN Kelantan, Mohd Ruslan Puteh.

Kenyataan itu turut menggambarkan sokongan UMNO mengundi PAS hanya tipu muslihat semata-mata.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob semalam membentangkan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan selepas ia ditangguhkan lebih 20 tahun lalu.

Pindaan yang dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu dan diluluskan hari ini.

Pindaan kanun itu menyentuh mengenai kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir dan ia hanya terpakai untuk orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

Menurut wakil PAS, hudud adalah antara perjuangan politik yang sekian lama dan akhirnya diluluskan pelaksanaan.

Tiada ulasan: