Nik Nazmi
 
 
 
SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak polis menghentikan segera taktik ugutan ke atas ahli politik dan aktivis yang terlibat dalam perhimpunan #KitaLawan 7 Mac lalu melalui penangkapan serta siasatan yang tidak berasas.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan pihak berkuasa itu perlu menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman untuk menyuarakan pandangan seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan itu bukan sahaja memberi persepsi negatif ke atas kedaulatan undang-undang tanah air, malah ia juga memberi ancaman kepada teras prinsip demokrasi negara.

“Selepas perhimpunan, pihak polis telah menggunakan peruntukan 9(5) Akta Perhimpunan Aman meskipun keputusan Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkannya bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: #KitaLawan: Adam Adli, Mandeep Singh ditahan ]

Terdahulu, Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong, aktivis muda, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh telah ditahan pihak polis untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan di pekarangan pusat beli-belah Sogo.

Nik Nazmi antara pemimpin PR yang terawal ditahan pihak polis selepas perhimpunan #KitaLawan dan dikenakan tahanan reman selama tiga hari di Ibu Pejabat Daerah Jinjang, Kuala Lumpur.

Beliau ditahan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Timbalan Speaker Dun Selangor itu ditahan pada Ahad lalu kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum demonstrasi #KitaLawan”, seperti diperuntukkan dalam PAA.

Siri tangkapan diteruskan melibatkan Ketua AMK Kelana, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Faris Musa; Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan Bendari Dewan Pemuda Pas Perak, Fakhrul Razi Mokhtar.