Jumaat, 27 Mac 2015

Menteri-PAS bertikam lidah, Mahfuz kena keluar

MALAYSIAKINI


 


Beberapa anggota parlimen PAS membantah - akibatnya seorang diperintah keluar Dewan Rakyat - selepas seorang menteri mendedahkan bahawa kerajaan pusat tidak membawa cadangan pindaan undang-undang hudud ke mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada 11 Mac.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata enakmen syariah itu tidak pernah dibawa untuk perhatian majlis itu sejak mula lagi.

Pengakuan itu mencetuskan kemarahan wakil-wakil rakyat PAS yang berkata kerajaan pusat pernah berjanji dalam jawatankuasa teknikal hudud untuk berbuat demikian sebelum pindaan dibawa ke Parlimen.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) diarah keluar dewan selepas beberapa kali cuba menyoal Jamil Khir sebab kerajaan tidak mahu mengikut apa yang telah dipersetuju dalam jawatankuasa teknikal.

Beliau diarah keluar oleh Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamad Said selepas 30 minit bertikam lidah, dengan menteri tersebut tidak memberi jawapan memuaskan berhubung perkara itu.

Bercakap dalam sidang media selepas diarah keluar dewan, Mahfuz mendakwa bahawa mesyuarat Majlis Kebangsan bagi Hal Ehwal Islam yang dipengerusi oleh perdana menteri, telah bersetuju dengan pindaan itu dan telah disebut akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Oleh kerana kerajaan tidak berbuat demikian, dakwanya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen.

"Rang undang-undang itu akan membuat ia mudah bagi Kelantan untuk menguatkuasakan apa yang telah diluluskan di sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini," katanya.

Menurut Mahfuz lagi, ini membuktikan bahawa apabila terdapat tekanan dari parti-parti komponen BN berhubung dengan hudud, kerajaan tidak meneruskannya.

Sebut 'bacul'

Sementara itu, Bernama melaporkan tindakan itu diambil kerana Mahfuz tidak mengendahkan arahan Ismail dan menghina Jamil Khir ketika menteri berkenaan menggulung perbahasan usul itu.

"Tindakan ini jangan dijadikan isu di luar dewan selepas ini. Ia dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 42.

"Yang pertama, tidak mengendahkan nasihat saya supaya duduk diam, lama saya biarkan....selain mengeluarkan perkataan menteri 'bacul'. Saya dengar perkataan ini terhadap menteri (Jamil Khir).

"Dia (Mahfuz) berdegil tidak menghormati (Timbalan) Speaker dan apabila diminta duduk diam, dia tidak menghiraukan arahan saya dan bukan kerana menteri gagal jawab," kata Ismail seperti dilaporkan agensi berita nasional.


Tiada ulasan: