Isnin, 9 Mac 2015

MB: Penahanan Nik Nazmi bercanggah perlembagaan

Oleh: Mohamed Azmin Ali


Saya menerima maklum bahawa YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Negeri Seri Setia dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi telah ditahan oleh pihak polis berikutan himpunan rakyat yang mendesak pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam.

Saya mengutuk sekerasnya penahanan ke atas Saudara Nik Nazmi. Tindakan polis merupakan pencabulan kepada kedaulatan undang-undang yang seharusnya membebaskan seorang anggota Dewan seperti Saudara Nik Nazmi daripada kongkongan kekuasaan.


B_j9-9pVEAAutFn

Justeru itu, penahanan ini adalah tidak sah, menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan. Perhimpunan rakyat semalam telah berlangsung secara teratur, aman dan merupakan hak yang dijamin oleh perlembagaan.

Tidak ada asas undang-undang yang kukuh ke atas penahanan Saudara Nik Nazmi dan Saudara Saifullah Zulkifli selain hanya bermotifkan politik.

Biarpun pihak polis ingin merakamkan kenyataan daripada mereka, namun tidak ada alasan munasabah untuk menahan mereka apatah lagi memandangkan Saudara Nik Nazmi hadir secara sukarela ke Balai Polis pada pagi ini.

Kerajaan Persekutuan dan pihak polis wajar menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menghormati keluhuran perlembagaan serta hak asasi rakyat.

Maka, pihak berkuasa perlu membebaskan Nik Nazmi dengan segera dan tanpa sebarang syarat serta menghentikan siasatan polis yang sedang berjalan kepadanya juga semua pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan mendesak pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

* Mohamed Azmin Ali adalah Dato’ Menteri Besar Selangor

Tiada ulasan: