Khamis, 5 Mac 2015

Khidmat doktor pakar luar hospital tiada GST

SINAR HARIAN

  • GST
PUTRAJAYA - Perkhidmatan perubatan pakar oleh doktor,  yang bukan pekerja hospital, yang diberikan kepada pihak hospital dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus mulai 1 April ini.

Bagaimanapun, perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh doktor pakar berkenaan kepada pesakit dikecualikan GST, menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau berkata, invois yang dikeluarkan kepada pesakit tidak tertakluk kepada GST jika ia dikeluarkan oleh pihak hospital yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Pusat Jagaan Swasta 1998 (Akta 586).

Khazali, dalam kenyataan hari ini, berkata ia juga termasuk invois yang dikeluarkan oleh doktor yang menjalankan penyumberan luar kepada hospital yang menyediakan bilik pemeriksaan dan mempunyai klinik yang berdaftar di bawah akta tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 347,165 buah syarikat telah berdaftar di bawah sistem GST sehingga semalam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,907 syarikat dan pemilikan tunggal telah berdaftar di bawah kategori perkhidmatan perubatan pakar. - Bernama


Tiada ulasan: