Mohd Roslan Puteh Mohd Roslan Puteh
 
 
 
KUALA KRAI - Pemuda Pas Kuala Krai berasa kagum dengan keberanian Adun Guchil, Mohd Roslan Puteh, menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II atau hudud dilaksanakan di negeri ini walaupun ia mendapat tentangan daripada wakil rakyat PKR lain.

Ketua Pemuda Pas Kuala Krai, Nazman Che Iberahim menyifatkan Mohd Roslan sebagai satu-satunya wakil rakyat PKR di Kelantan yang berani bersuara mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Mohd Roslan atas keberanian ditunjukkannya dalam meneruskan tekad serta komitmen terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

"Walaupun berbeza parti dan dasar perjuangan, kami tetap mengagumi keberanian ditunjukkan oleh Mohd Roslan.

"Beliau terus membawa aspirasi rakyat di kawasan yang diwakilinya walaupun telah menerima arahan daripada partinya untuk tidak mengambil bahagian dalam perbahasan dan meluluskan pindaan terhadap enakmen tersebut," katanya.

Nazman berkata, walaupun Mohd Roslan mungkin dikenakan tindakan tatatertib oleh PKR selepas ini, namun beliau dilihat lebih mengutamakan kehendak rakyat peringkat akar umbi.

Menurutnya, anak-anak muda akan sentiasa memberi sokongan dan dukungan atas usaha murni Mohd Roslan kerana keberaniannya menyuarakan hasrat rakyat.

"Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai juga menuntut janji serta mendesak Umno untuk menzahirkan keikhlasan mereka melalui ahli-ahli Parlimen BN, dengan menyokong Bil Persendirian (Private Bill).

"Perkara ini akan dibawa oleh wakil rakyat daripada Pas bagi meminda Akta 355 dengan menaikkan hukuman rotan mengikut kehendak syarak," katanya.