Jumaat, 20 Mac 2015

Hudud: Usul PAS dijangka 'tewas' di Parlimen kerana PKR tidak sokong

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz & Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PKR mengarahkan ADUN Guchil, Roslan Puteh untuk tidak menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang diluluskan oleh DUN negeri itu sebentar tadi. 
 
Pendirian PKR itu sekaligus membayangkan parti itu bakal memberi arahan sama kepada ahli Parlimennya  apabila PAS membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan enakmen itu dilaksanakan di Kelantan. 
 
Tanpa sokongan 16 ahli Parlimen PKR beragama Islam,  PAS dijangka gagal memperolehi majoriti mudah meskipun mendapat sokongan 87 ahli Parlimen Umno. 
 
Pindaan kepada enakmen itu diluluskan di DUN Kelantan hari ini namun hanya boleh dilaksanakan jika Parlimen meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
 
Dalam satu kenyataan, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Roslan diarah untuk tidak menyertai perbahasan atau mengundi terhadap pindaan enakmen berkenaan pada sesi DUN Kelantan hari ini. 
 
“PKR mengambil pendirian yang berbeza mengenai keutamaan melaksanakan hukuman hudud seperti yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan. 
 
“Oleh itu, PKR telah mengarahkan calon tunggal PKR di Dewan Undangan Negeri Kelantan (Roslan Puteh-Guchil) untuk tidak menyertai perbahasan dan pengundian bersabit Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan pada hari ini,” tambah kenyataan itu. 
 
Roslan hadir pada sesi pengundian hari ini namun adalah tidak jelas sama ada beliau mengikut arahan parti untuk tidak mengundi. 
 
Beliau meninggalkan DUN sebaik sahaja sesi dewan bersurai dan enggan memberi sebarang komen. 
 
“Maaf. Saya diminta tidak memberi sebarang ulasan,” katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada antarapos.    
 
Dalam menjelaskan rasional arahan parti itu kepada Roslan, Wan Azizah mendakwa PAS mungkir janji  untuk membuat pindaan kepada hanya empat perkara enakmen itu.
 
Menurutnya janji itu diberikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah pada mesyuarat Pakatan Rakyat Febuari lalu. 
 
“PKR tidak diberikan draf pindaan sehinggalah minggu lepas iaitu pada 12 Mac 2015 (seminggu sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri). Draf yang dibentangkan itu bukanlah pindaan empat perkara seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Amar tetapi merupakan pembentangan keseluruhan enakmen setebal 34 muka surat,” kata presiden PKR itu.
 
“PKR melahirkan rasa kesal kerana persetujuan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bertarikh 8 Februari 2015 tidak dihormati dan sekaligus bertentangan dengan muafakat bersama (Pakatan Rakyat) yang dicapai dalam tahun 2011 mengenai perkara ini,” kata Wan Azizah. 
 
Beliau berkata PKR sebelum ini menerima hak PAS membentangkan pindaan berkenaan kerana rang undang-undang hudud itu diperjuangkan sebelum penubuhan Pakatan Rakyat. 
 
Namun apabila yang dibentangkan adalah  keseluruhan enakmen berkenaan, "PKR melahirkan rasa kesal kerana persetujuan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bertarikh 8 Februari 2015 tidak dihormati dan sekaligus bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai dalam tahun 2011 mengenai perkara ini,” kata Wan Azizah. 
 
“Sedangkan PKR menghormati hak dan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentangkan (pindaan) enakmen ini, adalah lebih afdal jika Kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat Pakatan Rakyat,” kata beliau. 
 
Wan Azizah berkata PKR tidak menolak hudud namun keutamaan parti itu berbeza dengan PAS. 
 
“PKR meletakkan keutamaan kepada memperbetulkan ketidakadilan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanakan undang-undang hudud,” kata beliau. 
 
“Ini bukanlah bermakna PKR menolak ketetapan Allah SWT di dalam enam kesalahan mengikut hudud seperti yang sering dipolitikkan. Sebaliknya, PKR percaya perjuangan memperbetulkan ketidakadilan dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat lebih utama dalam menyelesaikan maslahat ummah sekarang,” katanya. 
 
“Oleh yang demikian, mengambil kira pertimbangan-pertimbangan ini, PKR mengambil pendirian yang berbeza mengenai keutamaan melaksanakan hukuman hudud seperti yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini,” tegas Wan Azizah.
 
  

Tiada ulasan: