Jumaat, 20 Mac 2015

Hudud: DAP bincang hubungan dengan PAS 23 Mac ini

gobind singh deo

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini memaklumkan akan mengadakan pertemuan pada 23 Mac ini bagi membincangkan masa depan DAP bersama PAS selepas parti Islam itu tetap berdegil mahu hudud dilaksanakan di Kelantan.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo menyatakan, beliau akan mengemukakan pandangannya sendiri dalam pertemuan itu nanti bahawa DAP tidak lagi boleh bekerjasama dengan PAS berikutan kedegilan mereka itu.

“DAP sentiasa kekal dengan pendirian bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

“Kami menjalinkan kerjasama dengan PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat berdasarkan rangka kerja dasar bersama yang jelas tidak termasuk hudud.

“Oleh itu, sukar untuk kami terus mengekalkan hubungan dengan PAS selepas pembentangan rang undang-undang hudud di Kelantan dan niat jelas mereka untuk membawanya ke Parlimen pula nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Puchong itu menegaskan, langkah PAS bukan saja melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat malah secara terbuka menunjukkan bahawa mereka memang tidak boleh dipercayai.

“PAS bukan saja telah mengkhianati DAP tetapi yang lebih penting semua pengundi-pengundi yang memilih mereka atas dasar bersama PR,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan Pakatan untuk segera memulihkan keyakinan rakyat dengan mengambil tindakan segera terhadap PAS.

“Tindakan perlu dilakukan untuk meyakinkan rakyat bahawa Pakatan serius mengenai dasar bersama dan janji-janjinya kepada rakyat serta masa depan Malaysia.

“Jika tidak, Pakatan akan menerima akibat dari pengundi dan penyokong pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang,” tegasnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: