Khamis, 19 Mac 2015

Gerakan perlu hormati hak Pas Kelantan


Ahmad Shabery Cheek Ahmad Shabery Cheek
 
 
 
KUALA LUMPUR - Gerakan perlu menghormati hak Pas Kelantan untuk membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) kerana parti Islam itu mewakili suara semua rakyat negeri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan Pas Kelantan membawa pindaan enakmen itu untuk diluluskan dalam sidang Dun Kelantan itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati.

"Itu hak Gerakan dan sesiapa sahaja buat apa-apa tindakan tetapi akhirnya Gerakan mesti faham dari segi Pas adalah parti yang telah dipilih oleh rakyat dan disokong oleh ramai orang bukan Islam.

"Apabila Pas mendapat kuasa dan sokongan yang begitu besar termasuk orang bukan Islam, apabila Pas memperkenalkan undang-undang ini, maka mereka Gerakan sepatutnya menghormati," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Gerakan semalam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, Kelantan, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993, yang pindaannya dibentangkan pada persidangan Dun Kelantan pada Rabu.

Saman pemula itu difailkan oleh tiga anggota parti berkenaan, iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie melalui Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low pada pukul 10 pagi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai defendan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gerakan saman Kanun Jenayah Syariah II]

Dalam saman pemula tersebut, plaintif memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi perisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, suatu deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah, bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: