Coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang didakwa tertera gambar babi.
SHAH ALAM - Cadbury Malaysia hari ini menafikan bahawa coklat jenis
Cadbury Milk Kids 20g yang tertera gambar babi adalah keluarannya.
Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran
berkata, produk tersebut adalah produk import dan bukan dihasilkan di
Malaysia.
“Produk ini diimport pihak ketiga yang bebas mengimport mana-mana produk keluaran luar negara.
“Pengimportan atau pembelian mana-mana coklat keluaran Cadbury oleh
pihak ketiga adalah di luar kawalan pihak Cadbury Malaysia dan kami
tidak mempunyai hak untuk menyekat mahupun mengawal mana-mana pihak yang
ingin membeli dan menjual produk-produk tersebut.
“Sekiranya pengguna ingin maklumat lanjut tentang produk tersebut sila
hubungi pihak penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Zalina coklat Cadbury keluaran Malaysia adalah dijamin halal oleh
itu beliau menasihati pengguna agar hanya memilih coklat Cadbury
keluaran Malaysia bagi mengelak berlakunya sebarang pembelian yang
mengelirukan.
“Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang
diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi
lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk
berkenaan.
“Jadi nasihat kami, pengguna harus memilih Coklat Cadbury keluaran Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, seorang pengguna telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya
di media sosial apabila, terbeli coklat Cadbury bergambar babi
baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan