MALAYSIAKINI
Datuk Bung Moktar Radin berkata beliau pernah tergerak hati untuk
menyokong gerakan Sabah keluar dari Malaysia apabila mengenangkan nasib
negeri itu yang dilihat seperti 'anak tiri' dalam persekutuan.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, ahli parlimen Umno itu mengulas isu
elaun perumahan pegawai kerajaan semenanjung yang bertugas di Sabah,
yang jauh lebih tinggi berbanding pegawai kerajaan Sabah yang bertugas
di semenanjung.
"Kadang-kadang kita terdengar suara, Sabah dan Sarawak lebih baik keluar daripada Malaysia.
"Sebab mereka menganaktirikan kita. Kadang-kadang saya pun macam
terpanggil (untuk menyokong)...," kata ahli parlimen Kinabatangan.
"Memang betul, guru-guru (semenanjung) ke Sabah dan Sarawak dapat
RM1,500, orang Sabah dan Sarawak pergi sini (semenanjung) dapat RM750.
"Ini, Tan Sri (speaker), tidak adil, betul-betul tidak adil. Seolah-olah Sabah dan Sarawak ini warga kelas kedua."
Ahli parlimen itu, yang sering menimbulkan kontroversi atau kekecohan di
dalam dewan, menggesa perkara tersebut diselesaikan dengan kadar
segera.
"Saya tidak tahu (masalah) ini siapa punya angkara. Saya mahu, Tan Sri,
perkara ini tahun ini (juga) diselesaikan. Jangan sampai tahun depan,
saya masuk dewan ini, saya bercakap bahasa yang sama lagi," katanya.
Beliau juga kelihatan kesal dengan masalah yang tiada jalan penyelesaian
itu dengan berkata: "Kita di dewan ini macam NATO, no action, talk
only."
Bagaimanapun tidak jelas ia ditujukan kepada anggota-anggota kabinet atau pihak lain.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan