Jumaat, 5 Disember 2014

Warga asing di Sarawak suatu kebimbangan!

Oleh Fabian William

Kerisauan yang utama pada setiap rakyat tempatan adalah keselamatan kerana banyak jenayah yang berlaku hari ini adalah berkaitan dengan warga asing.


Bangladeshi

Kemasukan rakyat Bangladesh sebanyak 12,000 orang ke negeri Sarawak telah mendapat kejutan yang sangat hebat kepada setiap rakyat Sarawak yang prihatin, kejutan ini dapat dilihat melalui luahan perasaan di media sosial khusunya Facebook.

Ada yang berpendapat bahawa tindakan kerajaan untuk membawa masuk rakyat Bangladesh ini adalah tidak wajar kerana banyak rakyat Sarawak yang masih menganggur, selain itu juga kemungkinan terjadi persaingan yang sengit diantara rakyat tempatan dan juga rakyat Bangladesh berkenaan dengan bayaran kerana seperti yang sedia maklum bayaran mereka (rakyat Bangladesh) dapat adalah lebih murah.

Tetapi kerisauan yang utama pada setiap rakyat tempatan adalah keselamatan kerana banyak jenayah yang berlaku hari ini adalah berkaitan dengan warga asing.

Memetik penerangan yang diberi oleh Richard Riot Jaem, Menteri Sumber Manusia, di Utusan Borneo berkenaan dengan isu ini, beliau memberi jaminan kepada rakyat Sarawak untuk tidak berasa bimbang kerana pekerja asing ini akan ditempatkan di sektor peladangan kerana kurangnya sambutan daripada rakyat tempatan di pekerjaan kategori 3D ini (Kotor, Sukar dan Bahaya).

Beliau juga menerangkan tentang polisi kerajaan dimana rakyat tempatan akan diberi keutamaan, selain itu juga beliau memberitahu bahawa permintaan kemasukan ini adalah hanya untuk sektor perladangan sahaja.

Pengambilan pekerja warga asing ini menurutnya lagi adalah berdasarkan standard yang telah ditetapkan supaya mereka bebas daripada aktiviti jenayah, penyakit dan sihat.

Beliau juga menjelaskan bahawa kadar pengangguran di Sarawak adalah pada tahap yang rendah jika mengikut standard pengangguran antarabangsa iaitu jika dibawah empat peratus, maka rakyat dinegara itu dianggap semua bekerja.

Penerangan daripada Richard sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kerisauan yang dialami oleh rakyat tempatan.

Namun begitu, ada sesetengah pihak juga yang kurang berpuas hati dengan penerangan yang diberi kerana kelemahan dalam sistem implementasi perkara tersebut.

Isu kemasukan rakyat Bangladesh ini akan pasti menjadi isu yang akan dimanipulasikan oleh parti-parti politik yang akan bertanding di pilihanraya negeri Sarawak nanti. Jika isu ini dimanipulasikan untuk kepentingan politik, ini akan terus meningkatkan kebimbangan kepada rakyat tempatan dan ini juga akan menjejaskan keharmonian di Sarawak.

Selain itu juga akan meningkat sikap prejudis kepada warga asing dan ini mampu mengugat keamanan di Sarawak.

Saranan kepada kerajaan dalam mengurangkan kebimbangan rakyat tempatan akan isu ini adalah dengan memberi penerangan yang teliti, ringkas dan mudah difahami.

Penerangan ini adalah dari segi jaminan kerajaan kepada rakyat tempatan, berkenaan isu keselamatan, undang-undang yang terlibat jika terjadinya penindasan kepada pekerja tempatan atau jenayah yang dilakukan oleh warga asing, syarikat yang terlibat dalam pengambilan pekerja ini dan maklumat lain yang berkaitan.

Ini akan sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebimbangan yang membelenggu rakyat tempatan, penerangan ini juga akan dilihat sebagai keikhlasan kerajaan dalam memberi jaminan kepada rakyat

tempatan supaya mereka tidak tertindas dengan kedatangan warga asing dalam sektor pekerjaan di Malaysia.

Bahang pilihanraya negeri Sarawak semakin dirasai dan pastinya setiap jentera parti politik dari pihak kerajaan dan pihak pembangkang sudah bersedia untuk memenangi hati rakyat supaya mereka diberikan mandat untuk memerintah dan yang pasti isu ini akan digunakan oleh pihak pembangkang dalam meraih sokongan pengundi.

Diharapkan pihak yang bertanggungjawab dalam kemasukan warga Bangladesh secara berperingkat ini sentiasa telus dalam pelaksanaan dan untuk parti-parti politik supaya tidak memanipulasikan isu ini yang dapat mengugat keaman dan keharmonian Sarawak.

(*)  Fabian William adalah pelajar Sarjana Sains Politik dan Kerajaan di Universiti Putra Malaysia

Tiada ulasan: